Monday, April 25, 2011

Memasyarakatkan Astronomi

Silalah beli majalah Muslimah, cover di hadapan ada Maher Zain bulan ini :) Ada juga artikel Falak saya..




hari astronomi sedunia pada tahun 2009, tetapi masyarakat seolah-olah tidak mengetahui.. di mana silapnya? media, diri sendiri atau hebahan pihak berwajib?




Memasyarakatkan Astronomi

Saya pernah bertanya kepada pelajar saya, “ Kamu pernah belajar tentang sistem suria sikit-sikit masa tingkatan 3 kan?” mereka menjawab tiada. Saya menjadi sedikit hairan kerana semasa saya dalam tingkatan tiga, saya pernah belajar sedikit ilmu astronomi tentang bintang dan sistem suria, namun tidak semasa zaman mereka. “ Itulah, ilmu astronomi ni, kamu terus-terus belajar semasa di universiti, itu pun kamu ambil program falak ni, kalau tak, banyak yang kamu tak tahu. Sedangkan astronomi adalah ‘queen of science’ (ratu sains). Patutlah planet ada berapa dalam sistem suria pun kamu tak tahu.” Saya menyindir secara melawak dengan mereka.

Saya berasa bahawa ada kekosongan dalam silibus sains sistem pendidikan di negara kita seandainya tidak dimasukkan ilmu astronomi dalam subjek sains atau fizik. Ini kerana, astronomi merupakan perkara yang penting dipelajari kerana ia merupakan ilmu yang berkaitan dengan ibadah yang kita lakukan sehari-hari seperti penentuan arah kiblat, waktu solat dan penetapan kalendar Hijri. Selain itu, pergerakan objek-objek di langit juga sangat berkait rapat dengan sistem masa dan waktu yang sedang kita gunakan. Ilmu astronomi juga merupakan ilmu kajian alam dan objek-objek di langit yang menyebabkan kita mengetahui keindahan dan teraturnya alam ini supaya mendekatkan lagi kita dengan yang Maha Esa, Allah.

Namun begitu, tidak dinafikan, ilmu astronomi semakin diminati oleh masyarakat Malaysia apatah lagi setelah Dr Sheikh Muszaphar Shukor menjadi angkasawan Malaysia pertama menjejakkan kaki di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Bagi golongan yang mempunyai minat dalam astronomi dan melakukan aktiviti yang berkaitan dengan pencerapan, kajian dan pemerhatian terhadap objek-objek samawi dengan menggunakan alat dan perkakas mereka sendiri dinamakan ahli astronomi amatur. Golongan ini bukanlah terdiri daripada golongan profesional yang bekerja dalam bidang astronomi, tetapi daripada pelbagai latar belakang profesion dan bergiat dalam bidang astronomi ini sebagai hobi yang mengasyikkan. Menurut Encik Shahrin bin Ahmad yang merupakan ahli astronomi amatur, beliau juga adalah pengendali laman web Falak-Online, beliau memberi contoh-contoh sumbangan secara aktif yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat yang berminat dengan astronomi dan menjadi ahli astronomi amatur antaranya : 1) Amatuer Telescope Making. 2) Memburu Komet dan Supernova 3) Variable Star Observation 4) Eclipse (Gerhana) Timing. 5) Pengimejan 6) Teleskop Robotik 7) Astronomi Pengkomputeran 8) Cerapan Video Astronomi 9) Sebaran Maklumat di Internet.

Golongan-golongan yang berminat dengan astronomi ini, tidak kisah menghabiskan banyak wang untuk membeli teleskop bagi operasi cerapan. Saya teringat kawan saya, William, ayahnya siap membina seperti balai cerap di rumahnya sendiri bagi anaknya memerhatikan objek-objek di langit. Para ibu bapa boleh memainkan peranan mendidik anak-anak mencintai ilmu astronomi dengan mengaitkannya dengan ilmu Tauhid. Guru-guru di sekolah juga boleh menubuhkan persatuan-persatuan Falak atau Astronomi dan membangunkan ‘Balai Cerap Kecil’ di sekolah masing-masing bagi pelajar-pelajar mengambil data-data dan mencerap objek-objek langit. Tentulah tidak akan terjadi itu semua seandainya kita, ibu bapa dan guru-guru sendiri tidak mempunyai ilmu sedikit sebanyak tentang astronomi.

Selain itu, aktiviti cerapan langit malam dan syarahan-syarahan umum berkenaan langit malam dan astronomi secara mudah perlulah dibudayakan di sekolah-sekolah dan juga oleh persatuan-persatuan Falak dan Astronomi seluruh Malaysia. Masjid-masjid, taman permainan dan dewan juga boleh dijadikan tempat mempelajari dan memerhatikan fenomena-fenomena astronomi seperti gerhana bulan dan matahari.

Kita dapat melihat contoh jelas bagaimana seorang yang biasa dan bukan profesional dalam bidang astronomi telah mewarnai dunia astronomi dengan penemuan dan aktiviti yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini. Dalam Kertas Kerja yang ditulis oleh Encik Shahrin menceritakan, seorang ahli astronomi amatur, Terry Lovejoy, telah menjumpai 2 buah komet baru pada Mac dan Mei 2007 di Brisbane, Australia. Pada zaman teknologi teleskop berkomputer berada di mana-mana dan satelit yang sentiasa menerokai angkasa secara automatik, masih ada manusia yang berjaya membuat penemuan baru mengalahkan peralatan yang serba canggih masa kini. Beliau menjumpai komet dengan menggunakan kamera digital biasa yang boleh dibeli di kedai-kedai kamera!

Pelbagai golongan boleh menaiktarafkan astronomi sebenarnya seperti seorang tukang kayu yang berkemahiran tinggi mungkin boleh memberi idea untuk mereka cipta optical tube assembly ( bahagian badan sesebuah teleskop yang menempatkan cermin pembalik, cermin kedua dan alat memfokus kanta) sesebuah teleskop yang lebih fleksibel, mudah dan ringan. Kemudian seorang ahli mekanikal melihat reka bentuk tadi, dan mendapat idea untuk mengintegrasikan rangka teleskop tersebut dengan beberapa peralatan motor yang membolehkan ia bergerak secara mekanikal tanpa perlu digerakkan secara manual. Apabila gabungan ini berjaya dilakukan, seorang ahli elektronik pula mungkin akan mendapat idea untuk memasukkan komponen-komponen elektronik bagi membolehkan ia dikawal dengan komputer. Kemudian datang pula seorang jurutera perisian yang melihat ini sebagai peluang untuk mewujudkan satu perisian canggih untuk mengawal teleskop tersebut daripada komputer atau internet.

Jelas di sini, golongan yang mempunyai minat dalam astronomi bukanlah satu-satu golongan mutlak untuk memberi sumbangan. Konsep kesepaduan ilmu hasil daripada lapisan masyarakat pelbagai kemahiran ini boleh menghasilkan satu bentuk idea baru yang begitu unik, inovatif dan berupaya memberi kebaikan kepada semua.