Thursday, August 12, 2010

3 Tahniah!


Alhamdulillah, syukur pada Allah yang telah memberikan umur di bulan Ramadhan ini, mudah-mudahan dapat memperbaiki dan menambah amal serta mendapat keampunan dari Allah..

Berkongsi kepada pembaca dan sahabat-sahabat semua semasa mendengar tazkirah Ramadhan dari Ustaz Ramadhan :) ( terlupa membawa pen dan buku) - hanya ingat di kepala:

Di bulan Ramadhan ini, ada 3 perkara yang perlu kita hayati dan muhasabah serta amalkan. Antaranya :-

1. Bulan Ramadhan sebagai tempat transformasi diri. Allah sangat-sangat penyayang dan pengampun, betapa banyak mana pun dosa kita, apabila meminta ampun dan bertaubat dengan sebenarnya, Allah pasti mengampunkan dan menerima kita. Bagi diri kita, mari muhasabah selalu, terutamanya bulan ini, bulan yang Allah gandakan pahala, bulan penuh belas kasihan Allah " Barangsiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." Betapa kasihnya Allah kepada hamba-hambaNya! Mari kita muhasabah, kita sebagai isteri, kita sebagai suami, sebagai ayah, sebagai anak, adakah telah menyempurnakan tugasan dan amanah yang Allah berikan. Tentunya kita tidak perfect, terlalu banyak kesalahan yang kita telah lakukan, bulan ini, jangan malu dan segan, mari transformasi diri dan terus istiqomah di bulan-bulan mendatang.

2. Bulan Ramadhan sebagai tempat memperkukuhkan institusi keluarga. Bulan inilah bulan untuk kita sama-sama berbuka, sama-sama bersahur dan beribadah dengan keluarga. Kalau dahulu, jarang-jarang benar berjamaah dengan keluarga, makan bersama dek kerana kesibukan kerja dan sebagainya, bulan Ramadhan inilah, bulan untuk merapatkan hubungan dengan isteri, suami dan anak-anak. dapat duduk semeja dengan mereka, berdoa bersama-sama. Bersahur bersama dan bertarawikh bersama. satu perkara, apabila seorang ayah yang ingin cepat ke masjid untuk bertarawikh hingga meninggalkan anak-anaknya yang ada peperiksaan keesokan harinya, lebih afdhal sekiranya seorang ayah itu menunaikan tarawikh di rumah berjemaah bersama ahli keluarganya supaya tiada yang tertinggal merebut peluang mendapat pahala berganda di bulan Ramadhan.

3. Bulan Ramadhan sebagai masa untuk mentadabbur dan tilawah al-Quran. Ramai antara kita yang terlupa untuk menghayati dan mendalami maksud sebenar al-Quran. kita seolah-olah perlu cepat menghabiskan ayat-ayat dalam al-Quran tanpa memahaminya. berapa banyak dari kita yang menghadiri majlis khatam Al-Quran tetapi tidak dapat memahami kalau bukan semua, tetapi sebahagian maksud al-Quran? mari kita sama-sama membaca intisari ayat-ayat al-Quran yang kita baca, walaupun tidak dapat setiap patah ayat al-Quran.


3 perkara ini moga-moga saya dan kita semua dapat amalkan. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan moga-moga Allah terima amalan kita sepanjang bulan ramadhan dan dikurniakan keampunan dan taqwa dari-Nya..



3 perkara juga yang dilalui menyebabkan kami dan saya khususnya perlu lebih memanjatkan kesyukuran lantaran nikmat dan ujian yang Allah beri.. Sahabat dan saudara mengucapkan 3 tahniah kepada kami.

1. Kurniaan Allah dengan zuriat kedua kepada kami. Hanya kepada Allah sahaja kami bertawakkal, moga-moga semuanya selamat dan sihat dalam kandungan mahupun semasa dan setelah dilahirkan. Benarlah kata Dr Fairuz semasa check up kami tempoh hari, " anak-anak bukanlah pengganti, tetapi menambah" benar, anak-anak adalah aset kita, sama ada berada di dunia mahupun di akhirat.

2. Perpindahan kami ke rumah sendiri. Alhamdulillah, bagi kami, perpindahan ini adalah satu penghijrahan, moga-moga ke arah yang lebih baik. Abang pun selalu berkuliah maghrib dan subuh di USJ, moga-moga semakin mudah. Saya juga rasa lebih selesa berada di rumah sendiri. Banyak yang kami pelajari dengan membeli dan me'renovate' rumah sendiri, dari hal bank, tuan rumah dulu, membeli jubin, membeli barang-barang di toilet, dapur, sekecil-kecil paip apa yang ingin dibeli dan juga akhirnya langsir. Semuanya memerlukan penyelidikan daripada kawan, internet dan juga majalah-majalah. Apa yang kami belajar, membeli dan me'renovate' rumah ni, biarlah keluar lebih sikit asalkan puas hati'. apapun, harapan kami, moga-moga rumah ini beroleh keberkatan dan dipelihara Allah selalu, menjadi rumahku, syurgaku :)Terima kasih kepada abang yang menyediakan rumah yang best dan selesa untuk kita :)jemput kepada sahabat-sahabat dan saudara-saudara untuk datang ke rumah kami.

3. Konvokesyen Master saya pada 3 Ogos yang lepas. Lain benar perasaan konvokesyen master berbanding degree dulu. ke'excited'an suda tiada, seperti tiada perasaan. Yang ada hanyalah perasaan ingin lebih belajar dan sambung Phd, rasa banyaknya yang tak tahu lagi, rasa banyaknya amanah yang perlu dilaksanakan dengan ilmu yang ada. Gembira memang sangat gembira dengan baby pun naik atas pentas sekali, namun perasaan tersebut seperti terhilang dengan perasaan yang lain. Moga Allah mudahkan lorong menuntut ilmu dan memberi ilmu yang sedikit ini kepada ummah!


Terima kasih kepada abang, keluarga dan sahabat-sahabat yang tidak putus-putus mendoakan kami, moga-moga kalian juga beroleh kemenangan di Aidilfitri dan sentiasa mendapat perkara yang terbaik dalam hidup!