Monday, October 26, 2009

NUR FATIMAH MILIK ALLAH




NUR FATIMAH MILIK ALLAH



“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa di muka bumi dan tidak pula pada dirimu melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh, yang demikian itu sangat mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) agar kamu tidak berdukacita terhadap apa yang luput darimu dan supaya kamu tidak terlalu bergembira terhadap apa yang Dia berikan kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Surah Al-Hadid : 22-23

“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Surah at-Taghaabun : 11

“ Tidak ada seorang pun yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan : Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un, Allahumma’jurnii fi mushibatii wa akhliflii khoirom-minha ( Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kita akan kembali. Ya Allah, berilah pahala atas musibah yang menimpaku ini dan gantilah aku dengan yang lebih baik darinya) kecuali Allah akan memberi pahala atas musibah yang menimpanya dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik darinya.”

Muslim 2/233

“ Allah berfirman : “Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang beriman jika Aku mengambil (mewafatkan) orang yang dicintainya di antara penduduk dunia ini, lalu dia mengharap pahala atas musibah ini kecuali syurga”

Al-Bukhari dalam al-Fath : 11/242

“ Rasulullah SAW berkata kepada seseorang yang ditinggal mati anak lelakinya, “ Apa kamu tidak suka bila kamu masuk salah satu pintu syurga sedang engkau mendapati anakmu itu sudah menantimu?”

Ahmad dan an-Nasa’i. Sanad sesuai syarat as-shahih serta ditashihkan oleh al-Hakim dan Ibnu Hibban. Lihat Fathul-Bari : 11/243


Ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith inilah yang sentiasa membantu kami tenang sepanjang tempoh Nur Fatimah di ICU dan melihat sendiri puteri kami berhenti bernafas.. Ibu ayah mana yang tidak sayangkan anaknya dan sedih melihat penderitaan kesakitan anaknya, namun janji-janji Allah yang sentiasa mendamaikan dan membantu kami tabah dan redha.. Syukur pada Allah yang memberikan kami kekuatan, ketabahan dan redha dengan segala yang berlaku..Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mendoakan kami..


PENGHARGAAN BUAT KELUARGA DAN SAHABAT

Kesempatan ini, saya dan suami ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kaum keluarga, mak, mama, baba, abang2, kakak2, adik2, sanak saudara dekat dan jauh serta sahabat-sahabat dekat dan jauh atas segala bentuk sokongan, doa dan ziarah dari awal Nur Fatimah dimasukkan ke wad kanak-kanak, ICU dan sepanjang jenazahnya di Masjid UPM dan dikebumikan. Kami amat menghargai segala susah payah mak, mama, baba dan adik-beradik yang bersama-sama menjaga Nur Fatimah, mengalunkan bacaan Al-Quran untuknya, berulang dari Johor dan Pulau Pinang yang bukannya dekat untuk memberi sokongan, menjaga dan mendoakan Nur Fatimah, juga sanak saudara yang tidak putus-putus berziarah, membawa makanan kepada kami, membantu urusan jenazah dan sentiasa memberikan sokongan yang tidak mampu kami balasnya melainkan Allah sebaik2 Pemberi Balasan..

Kami juga sangat terharu dan berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan, datang berziarah, menelefon, SMS, memberi sokongan material dan emosi sehinggalah ke hari ini. Sukar untuk kami menyebutkan satu persatu nama sahabat kerana bimbang ada yang tertinggal, cukuplah nama sahabat2 semua berada dalam hati kami dan Allah akan membalasnya.

Begitu juga ucapan terima kasih buat pengurusan Hospital Putrajaya, Doktor-Doktor Pakar di Hospital Putrajaya, Hospital Kuala Lumpur, PPUM dan nurse yang sentiasa sabar dan berdedikasi dalam kerjaya dan membantu sepanjang merawat anak kami.


HARI-HARI YANG MENDEBARKAN

Sukar untuk saya mengingat kembali detik-detik penuh cemas dan mendebarkan, kerana pasti saya akan terbayang-bayangkannya. Setiap kali sahabat dan sanak saudara bertanya tentang punca dan kejadian semasa berlaku dan pertanyaan-pertanyaan mengapa, apa dan bagaimana, saya berusaha untuk menjawabnya sebaik mungkin walaupun di hati ini berasa tidak senang dan letih untuk menjawabnya lantaran berulangkali dan menyebabkan teringat perkara-perkara yang menyedihkan. Namun saya faham keprihatinan family dan sahabat-sahabat semua kepada kami.

Bermula dengan menghantar Nur Fatimah ke Nursery dengan gelak tawa yang cukup menghiburkan, mendapat panggilan dari pengasuh bahawa setelah lama menangis, tiba-tiba Nur Fatimah lemah, saya terus ke Nursery dengan linangan air mata dan melihat Nur Fatimah berda dalam dakapan owner Nursery yang sampai dahulu dari saya. Menyangka Nur Fatimah inginkan ibunya, saya terus mendakap dan ingin menyusukannya, namun takut di hati apabila Nur Fatimah tidak membuka matanya dan kejang seperti sawan dan terus menghantarnya ke Hospital An-Nur tempat kelahirannya dan dipindahkan ke wad kanak-kanak di Hospital Putrajaya lebih kurang pukul 3 petang Khamis 9 Oktober 2009. Sepanjang perjalanan ke Hospital An-Nur, saya tidak putus-putus membacakan Fatihah, Ayat Kursi dan ‘Bismillahillazi La Yadurru...’ kepadanya. Beberapa kali Nur Fatimah kekejangan di kereta dan juga di wad kanak-kanak walaupun telah dimasukkan ubat anti sawan. Setelah otak discan dan diambil air tulang belakangnya di wad kanak-kanak, dalam pukul 1pagi Jumaat, saya melihat wajah Nur Fatimah dan ketika itu tiba-tiba matanya terbuka dan kemudian tertutup, seolah-olah malaikat telah menjemputnya pergi, kemudian alat pengukur kandungan oksigen menunjukkan penurunan mendadak oksigen dalam badan namun kemudiannya normal. Setelah nurse pergi, saya melihat kembali wajah Nur Fatimah, namun terkejut melihat tiada tanda-tanda pernafasan di badannya dan melihat mulutnya seperti menyedut udara. Saya panggil doktor dan doktor sudah ‘standby’ dengan ‘alat renjat’, namun tidak digunakan kerana setelah mengepam bantuan pernafasan, jantung Nur Fatimah kembali berdenyut. Setelah dimasukkan ke ICU, di luar ICU, suami mengangkat tangan berdoa dan saya mengaminkan dengan sedu sedan menangis.. “ Ya Allah, berikanlah yang terbaik untuk Nur Fatimah dunia dan akhiratnya, sekiranya hidup itu lebih baik baginya, Engkau sembuhkanlah Ya Allah, sekiranya kematian itu lebih baik baginya, maka Engkau bantulah kami untuk sabar dan redha” antara doa yang diingati.

“ Kita doa yang terbaik untuknya ya,” dengan mata merah, abang mengingatkan saya.. Benar, kekuatan abang menyebabkan saya berusaha untuk tabah dan redha..

14 HARI DI ICU

Sepanjang tempoh ini, perkara paling menakutkan kami adalah apabila berjumpa dengan doktor. Sejak dari mula lagi doktor telah mengingatkan dan memberikan segala sebab musabbab realiti agar kami bersedia.

” Nur Fatimah mengalami kecederaan otak yang sangat teruk. Dari scan kedua, memang nampak lebih teruk lagi. Mengikut pengalaman kami, dari dua kes terdahulu, memang berakhir dengan kematian. Saya minta maaf sangat, tetapi kami berusaha yang terbaik, memang kita perlu berusaha dan bersangka baik, dengan izin Allah ada miracle, tetapi kita perlu tahu juga realitinya mengikut ilmu perubatan.”

Bertanya kepada Doktor Arini, pakar kanak-kanak Hospital Putrajaya, pelbagai perkara, simptom, punca dan sebagainya, namun hakikatnya, benar semuanya adalah musabbab yang Allah berikan. ” Biasanya terjadi di nursery, mak ayah jangan salahkan diri, saya faham mak ayah risau, lagipun anak pertama, baby nangis banyak takkan terjadi kecederaan sebegini, biasanya terjadi dengan sebab goncangan yang kuat biasanya dengan sebab kemarahan, atau hayunan buaian kuat menyebabkan gegaran di kepala.” Air mata tidak boleh ditahan-tahan lagi untuk keluar kerana memikirkan takut-takut kesalahan saya menyebabkan Nur Fatimah begitu. Berulangkali Doktor menjelaskan kepada kami kerana berulangkali juga kami bertanya sama ada boleh tak terjadi sekiranya kerana berjalan jauh semasa raya, takut nur fatimah penat atau kerana banyak sangat nangis sehingga kata-kata orang menyebabkan kurang oksigen sampai ke kepala.

14 hari di ICU juga tidak putus-putus kami membaca Fatihah, Ayat Kursi dan Yasiin kepada Nur Fatimah dengan niat supaya menjadi penawar, syifa’ kepadanya, sehingga suami sempat bergurau, ”nanti kalau Nur Fatimah sihat, mesti dia dah hafal surah Yasin.” 14 hari di ICU juga, pelbagai masjid menunaikan solat hajat, sanak saudara dan sahabat pula tidak putus-putus berkunjung, terima kasih diucapkan. Setiap kali bertemu Nur Fatimah, hati rasa bersemangat kembali walaupun masih tidur. Ucapan kami tidak putus-putus pada telinga Nur Fatimah, ” Mama Baba sayang sangat pada Nur Fatimah, Mama Baba minta maaf segala salah silap mama baba pada Nur Fatimah ye, Mama Baba doakan yang terbaik untuk Nur Fatimah, Nur Fatimah bukalah mata, baliklah dengan mama baba kat rumah”Juga berusaha pelbagai perkara, selain ubat doktor, ubat-ubat lain yang dibenarkan juga beserta air zam-zam serta air penawar juga diberikan, berusaha sedaya mungkin kerana kita tidak tahu taqdir yang Allah tentukan padanya, harapan kami tentulah puteri Nur Fatimah sihat dan sembuh...

12 Oktober 2009 merupakan genap setahun pernikahan kami, namun Allah menguji kami dengan ujian berat ini, Nur Fatimah masih ’tidur’ di ICU. SMS baba pada kami : ”Abg dan Djah! Setahun berlalu abg dan Djah bergelar suami isteri. Sudah 3bulan menjadi ayah dan ibu kepada puteri Nur Fatimah. Ulangtahun abang dan Djah dikalong ujian dari Allah, putri cucu ba dan ma , ’tidur’ tenang. Luruh segala kudrat, kering air mata, sebak melanda jiwa, cucu ba dalam ujian Ilahi. Yang terdaya cumalah munajat yang sarat dengan hajat, agar Nur segera sihat. Abg n Djah, la tahzan! Ba, Ma dan adik-adik ucapkan ’tahniah’ sempena setahun berijab qabul. Kami terlalu sayang pada abang n kak Khadijah, dan sekuntum melur cantik, Nur Fatimah! Ba sebak dalam tangisan!”


3 Zulkaedah 1430H, 22 Oktober 2009, ALLAH LEBIH SAYANGKAN NUR FATIMAH

Pukul 4.30pagi Khamis, nurse di ICU call minta datang ke ICU, heartbit semakin menurun. Bergegas ke ICU, pukul 4.55 pagi, kami sampai dengan emak yang tidur bersama di rumah. Sesampainya di sana, heartbit dan tekanan darah semakin lemah. Kami berulang kali membaca Yasiin, Surah Al-Ikhlas, Surah Fatihah dan ayat Kursi serta membisikkan syahadah kepada Nur Fatimah. Benar, janji Allah pasti berlaku. Sesudah kami menunaikan solat Subuh, saya mohon pada Doktor untuk memangku dan memeluk Nur Fatimah, doktor izinkan. Dengan masih bantuan pernafasan di mulut, Nur Fatimah berhenti bernafas di pangkuan, sebagaimana kata doktor, lama-lama jantung tidak akan larat juga untuk mengepam walaupun ada bantuan pernafasan. Nur Fatimah ’tidur selama-lamanya’ di pangkuan mama bersama baba dan nenek. Air mata masih lagi laju seperti tidak mahu berhenti, namun mulut masih lagi membisikkan laa Ilahaillallah, Muhammadur Rasulullah kepada Nur Fatimah. ” Tenanglah sayang, Allah lebih sayang pada Nur Fatimah.

” Itu yang terbaik pada Nur Fatimah, abang masih lagi ada Khadijah” kata-kata abang bagai menyimbah air di hati. Benar, apa yang berlaku, itulah yang terbaik untuk Nur Fatimah, dunia dan akhiratnya. Syukur pada Allah yang mencampakkan rasa ketenangan dan redha dalam hati sepanjang hari itu. Hati rasa puas dapat menjaga Nur Fatimah, dapat membaca Al-Quran bersamanya dan dapat mengalirkan susu di dalam badannya walaupun melalui tiub. Ketika mengambilkan wudhu’ ke badan Nur Fatimah selepas memandikannya, membasuh tangan Nur Fatimah sambil berkata dalam hati,” Nur Fatimah, nanti pegang tangan mama baba kuat-kuat ye sayang dalam syurga, tolong mama baba dapat sama-sama di syurga.” Ketika membasuhkan kakinya, ” Nur Fatimah, tunggulah mama baba sama-sama di syurga ya!”

Talkin yang baba baca di perkuburan menyebabkan air mata tumpah lagi, ”pasti cucu baba sedang bermain-main di syurga, jumpa tok ismail, tok piah.” begitulah yang selalu tok wan baba cakap. ”Title datuk dah ditarik balik nampaknya!”wan baba kata pada kawannya. ”Mak, cucu mak dah tinggal 8orang balik, ain je cucu perempuan mak” abang kata pada mak.

JAULAH PUTRAJAYA

Hari sabtu, 2 hari kemudian, kepala semakin lapang dapat berjalan-jalan sambil bergambar di putrajaya bersama baba,mama dan adik-adik. ” Kalau Nur Fatimah ada mesti dia yang jadi subject kita ambil gambar.”

Banyak benar pengajaran dan ingatan Allah kepada hamba-Nya yang sememangnya lemah ini, yang kadangkala melupaiNya. Nyawa kita berada dalam genggaman-Nya. Perlu sentiasa bertaubat lantaran kadang-kadang hati kita mungkin terlupa dengan kekuasaanNya, bangga diri atau takbur dengan pemberianNya, melupai bahawa Allahlah penjaga makhlukNya. Ujian Allah sebenarnya menjinakkan kembali hati dan menguatkan kembali rohani, moga-moga Allah mengampunkan segala dosa-dosa dan memberikan yang lebih baik lagi di kemudian hari..

”Nur Fatimah, mama baba sayang sangat pada Nur Fatimah, tapi Allah lebih sayangkan Nur Fatimah! Nur Fatimah tetap permata hati mama baba, anak sulong mama baba! Doakan mama baba dapat bersama-sama Nur Fatimah di syurga, jangan lupakan mama baba...”

Ya Allah, kami mohon yang lebih baik dari-Mu, Engkau yang Maha Mengetahui yang lebih baik dan terbaik, bantulah kami sentiasa mengingatiMU, mensyukuri nikmatMu dan memperbaiki amalan kami semata-mata keranaMU... Syukur padaMu Ya Allah kerana memberikan kami zuriat selama 108hari, menatap wajahnya, menyusukannya dan menjaganya, Maha Suci Engkau dan Maha Penyayangnya Engkau kepada hamba-hambaMu, pandanglah kami dan janganlah Engkau tinggalkan kami, bantulah kami dalam segala urusan kami, wahai Allah, Tuhan yang Maha Memberi..
Alhamdulillah....

Wednesday, September 30, 2009

Setahun berlalu..








12 Syawal genap setahun pernikahan kami..
Sukar untuk menggambarkan dengan perkataan isi hati ini..
Moga-moga terus subur mahabbah, mawaddah dan rahmah sehingga akhir hayat dan segalanya sentiasa ikhlas kerana-Nya jua..
moga sama-sama terus ikhlas berjihad, menuntut ilmu dan istiqomah dalam segalanya..
Nur Fatimah puteri hati mama baba, moga menjadi bintang keluarga dan agama..

Wednesday, September 9, 2009

Banyaknya Nikmat-Mu pada hamba yang kerdil






Sabda Rasulullah :

"Barangsiapa yang mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, dengan keimanan dan penuh pengharapan (diampunkan dosa2nya), diampunkan dosa2nya yang telah lalu."

Bulan yang penuh dengan keampunan, pengharapan bagi yang benar2 ikhlas mencarinya telah datang.. Bulan Ramadhan yang telah lalu mengumpulkan banyak kenangan, suka dan duka bersama dengan sahabat-sahabat, Ramadhan kali ini berlainan sekali kerana Allah telah menetapkan memberi dua title sekaligus 'isteri dan ibu', anugerah Allah yang tiada taranya. Namun, hakikat kita sebagai hamba mesti diteruskan supaya setiap ibadah yang dilaksanakan hatta menyediakan kelengkapan buat suami dan anak diniatkan hanya mengharapkan redha Allah supaya Allah menerimanya sebagai amalan buat bekalan di hari akhirat..

" Moga kita benar-benar menjadi seperti baby di akhir Ramadhan, menyambut syawal dalam keadaan fitrah suci seperti baby :)" kata saya dalam usrah bersama adik-adik dari serdang yang dengan kaya hati bertandang berusrah, membawa pelbagai makanan di rumah sehari sebelum Ramadhan, supaya saya tidak susah-susah menyediakan makanan. Nur Fatimah yang bersama-sama berusrah sambil seronok 'dinner' di atas pangkuan nampak baik sahaja apabila tidak ditinggalkan sendiri.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan salam Ramadhan, Ramadhan Kareem, moga Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya dan benar-benar ALlah menerima ibadah kita sepanjang Ramadhan dan memberi kita hadiah pengampunan dosa-dosa kita selama ini..

Moga tak terlambat mengucapkan terima kasih juga atas doa, ucapan, ziarah setelah saya melahirkan puteri sulong, Nur Fatimah pada 4 Julai yang lepas.. Terima kasih kepada nazri yang menyiarkan cerita tentang aqiqah anak kami dengan gambar-gambar. Hanya Allah yang dapat membalasnya..

Gelagat Nur Fatimah setelah 66 hari melihat dunia dengan rahman dan rahimNya Allah banyak mencuit hati kami, benarlah, Allah pantas meletakkan kasih sayang ibu bapa kepada anak dengan secara naluri fitrah tanpa disuruh-suruh, manakala anak disuruh mentaati kedua ibu bapanya.. Saya letakkan gambar Nur Fatimah dengan pelbagai aksi :P


Friday, June 26, 2009

Sunyi Seorang Penghibur


Berita yang menggemparkan ramai pada hari ini... Hati rasa syukur kerana meninggalnya sebagai seorang Islam.. Moga-moga dengan pengakuannya bahawa tiada Tuhan berhak disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah menyebabkannya mendapat pengampunan dari Allah dan dimudahkan jalan ke syurga.. Bak kata adik MJ : Allah be with u Micheal.. Begitu juga doa kita padanya.. Walaupun mungkin dia sunyi di dunia, mudah-mudahan di sana tidak begitu..

Al-Fatihah...

Wednesday, June 24, 2009

The Burning Desire : 'Tenggelam' Bersama Sultan Muhammad Al-Fateh

" Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fateh sudah menukar daratan menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fateh dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!" Ahli Sejarah Byzantine.

" Konstantinople akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik" Nabi Muhammad SAW.



Alhamdulillah, sebuah buku novel sejarah Islam karangan Abdul Latip Talib berjudul "Sultan Muhammad Al-Fateh, Penakluk Konstantinople" berjaya dihabiskan kurang seminggu. Betapa besarnya pahala penulis yang berjaya menulis sejarah dalam bentuk novel ini terutamanya kepada mereka yang seperti saya (minat baca sejarah, tapi dalam bentuk cerita) kerana dari sekolah menengah, subjek yang selalu mendapat markah paling sedikit adalah sejarah. Walaupun ketika kelas sejarah, jarang sekali mengantuk dan begitu teruja mendengar cerita guru-guru, tetapi, apabila menterjemahkan ke jawapan dalam peperiksaan, kebiasaannya fakta tidak mencukupi ataupun pasti ada yang tidak kena, entah mengapa. Sebab itulah apabila buku sejarah berbentuk novel tulisan Pak Latip keluar dahulu, pertama saya beli adalah buku tentang Salahuddin Al-Ayyubi, yang saya kira tidak sampai seminggu dapat dihabiskan. Ketika pesta buku yang lepas, alhamdulillah, smua buku novel sejarah Islam Pak Latip saya borong semuanya. Terima kasih saya ucapkan..

The Burning Desire, begitulah kesimpulan yang diberikan oleh Ustaz Hasrizal (saifulislam) dalam talk yang saya sertai baru-baru ini berkenaan Sultan Muhammad Al-Fateh dan tentera-tenteranya. Benar sekali! Setelah tenggelam bersama ceritanya dalam buku tersebut, saya akui, impian yang sentiasa membara dan usaha mencapai impian tersebut walapun dikatakan mustahil oleh kebanyakan orang menjadi penyebab Allah memberi kejayaan kepada sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik tentera tersebut. Mengapa bukan zaman Saiyidina Ali, Mu'awiyah, Sultan Sulaiman mahupun Sultan Beyazid yang telah 3kali cuba menawannya tetapi gagal? Apatah lagi difikirkan logiknya, zaman sahabat yang mempunyai tentera yang sangat tinggi imannya mahu syahid pada bila-bila masa seperti sahabat Rasulullah SAW Abu Ayyub Al-Ansari masih juga tidak berupaya menawan kota itu, tapi penakluknya adalah anak muda berusia 21 tahun, tidak jauh dari zaman kita iaitu 29 Mei 1453M bersamaan 20 Jamadil Awwal 857 H. Banyak sungguh 'ibrah yang dapat dikutip. Bermula dengan didikan sang bapa (Sultan Murad) kepada anak yang masih kecil dengan ilmu agama dan ilmu peperangan dan strategi-strateginya memberitahu kita bahawa didikan dan ilmu sejak dari kecil amat penting.

Begitu juga beliau dekat dengan seorang ulama', Syeikh Syamsuddin al-Wali dan merujuknya sentiasa dalam setiap perkara adalah petanda seorang pemimpin yang baik sentiasa mahukan petunjuk hidayah Allah dalam segenap keputusannya dan tidak bongkak merasakan dirinya pandai seorang. Wasiat Sultan Muhammad kepada anaknya sangat perlu diteliti satu persatu supaya sentiasa dimuhasabah dan diamalkan kita. Antaranya : " Ayahanda berwasiat kepadamu anakandaku, hormatilah ulama. jangan sekali-kali kamu lakukan perkara yang bertentangan dengan hukum Islam. Agama itu tujuan kita, dan kita menang juga kerana agama."

Pelbagai strategi perang dan idea-idea Sultan Muhammad yang sangat bernas bersama perbincangan dengan panglima-panglima perang beliau amat banyak sekali menarik perhatian saya yang tidak mampu diungkapkan semuanya di dalam ini. Moga-moga, dapat dijadikan panduan dan tauladan kepada pemimpin Umat Islam masakini dalam menggerakkan agenda ummah.


The Burning Desire juga membuatkan saya sentiasa teringat dengan seorang insan yang sentiasa mempunyai impian dan pasti akan melaksanakannya walaupun sesusah manapun dengan pelbagai strategi menarik dan berupaya menarik lebih ramai orang memahami misi, objektifnya.. Dia yang sentiasa tidak jemu memberikan kefahaman dan motivasi kepada anak buahnya untuk mencapai sesuatu yang kadang-kadang dirasakan agak payah untuk dilaksanakan.

" Cuba lihat, kalau Kak Mas letak pen ni depan k mas, then letak handset ni bawah dagu, apa yang kita akan nampak? pen atau handset? -Pen - Kita andaikan pen ni akhirat, then handset sebagai dunia. Dalam apa sahaja kita buat, ikut pesan Tok Guru, Akhirat depan mata, Dunia bawah dagu.. kita kejar dan buat apa sahaja di dunia ni, ingatlah, matlamat kita akhirnya adalah akhirat. Apa yang susah di dunia ni, kene maki, rasa payah, susah semuanya, tapi benda tu kita buat seolah-olah tak nampak sebab The Big picture kita adalah akhirat.."

Itulah yang sering diingatkan oleh K Mas, Puan Mastura Mohamad, yang sesiapapun mengenalinya pasti sebentar sahaja rasa dekat di hati.

Kenangan Bersama Nisa Indoor Games 2009

Kenangan Nisa' Games 2007

" Buatlah, kita teruskan sahaja. InsyaAllah, duit datang dari langit :)" itulah yang sering dikatakan k mas kepada kami dan kadang-kadang menjadi gurauan kami apabila satu-satu program besar ingin kami laksanakan tetapi seorang penaja pun tiada.



Membuat perkara biar fokus dan detail menjadi training kepada saya terutamanya, yang kadangkala kurang fokus dan buat kerja 'senang untuk berpuas hati'. Dijah, you dah call catering? " " Pastikan makanan sampai at 7 am sebab kita akan berkumpul 7.45am ok!" walaupun perkara-perkara yang kita rasakan kecil untuk seorang ketua pandang, tapi itulah yang sering diingatkan kepada setiap ajknya bahawa setiap perkara jangan dipandang kecil." Antara kami sering mengingatkan kata-kata k mas dahulu, " I takkan rasa program ini berjaya walaupun masuk paper ataupun ramai orang datang, tetapi antara kita sesama ajk semakin jauh hati dan bermasam muka. Kalau program ni semakin mendekatkan hati kita, menyuburkan ukhuwwah sesama kita walaupun kecil sahaja, tetapi itulah kejayaan yang paling besar yang k mas rasa." begitulah, walaupun pelbagai halangan kewangan, halangan dalaman organisasi, halangan besar yang payah diungkapkan dengan kata-kata, namun, the Burning Desire itulah yang sentiasa menambat hati saya melihat sesuatu kejayaan yang Allah ingin beri itu terlaksana. sekiranya kita ingin buat perkara serupa, puas dengan apa yang ada, bersikap sambil lewa, maka kesannya itu jugalah yang serupa akan kita dapat..

Sebetulnya entri ini ditulis bagi membentuk dan mengingatkan diri sendiri supaya sentiasa bersemangat dalam apa jua keadaan. Bagi diri yang perlu mengejar semuanya dalam satu masa mungkin tidak mampu, tapi sekurang-kurangnya berusahalah walaupun dengan keadaan susah kerana Allah telah menjanjikan setiap yang susah pasti ada kesenangan. walaupun kaki sudah sakit-sakit dan payah untuk bergerakk kerana menunggu masa melahirkan baby yang tersayang, setiap saat pastinya berharga. Sudah hampir seminggu terperap di rumah sememangnya bosan, tetapi matlamat jangka pendek untuk membuat Phd ke luar negara perlu disusahakan. Alhamdulillah, jumaat lepas, baru sahaja pemeriksa luar bagi master saya diluluskan setelah hampir setahun menunggu kerana payahnya mendapatkan pemeriksa bagi bidang ini - sehingga menyebabkan sakit hati dan melambatkan pelbagai proses :( akhirnya Allah mudahkan jua. Sebelum ini, naik turun tangga yang 'berpusing' di British Council kerana belajar English untuk mengambil Exam IELTS selepas pantang nanti memang memenatkan selama 2 minggu. Memerah otak untuk membuat proposal Phd dan mendapatkan tempat di universiti luar perlu diusahakan walaupun ada ketikanya kalah dengan kesakitan dan 'kemalasan' berfikir. Jangan disia-siakan dengan biasiswa yang dapat! Malu dan jeles ada juga melihat abang yang sedang bersemangat dan fokus menyiapkan proposal Phd yang baru demi mengejar cita-cita, thanks kerana memberi semangat dan inspirasi. Moga Allah perkenankan doa kita bersama mencapai cita-cita. Buat baby, doakan mama bersemangat, mudahkan mama kelak dan lihatlah dunia kelak dengan selamat dan mudah ya!

" Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku dengan selamat dan mudah. Jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Tetapkanlah ke dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada Rasul-Mu. Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkan badannya dan baikkanlah akhlaknya, fasihkan lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca AL-Qur'an dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad SAW dan segala puja puji bagi Allah Tuhan semesta alam"

Terima kasih hairin atas doa dan segala panduan berguna. Thanks najibah atas segala sharing moment sepanjang kita mengandung dan tak bosan2 bercerita, suke :) Tahniah kepada sahabat2 yang telah selamat melahirkan anak, semoga sama-sama anak soleh & solehah. Buat sahabat-sahabat yang belum bertemu jodoh, doa saya sentiasa bersama untuk kalian moga mendapat jodoh terbaik, jangan putus asa dengan janji Allah. Mohon maaf segala salah silap, kekurangan, tolong doakan semuanya selamat dan dipermudahkan..

Wednesday, May 27, 2009

Jom Tengok Arah Kiblat Yang Sebenar hari ini








Gambar Ihsan Persatuan Falak Syarie Malaysia


Kejadian matahari istiwa (rembang) di atas kaabah berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang dan pada 16 Julai, kira-kira jam 5.28 petang (waktu Malaysia). Ketika matahari istiwa di atas Kaabah, bayang objek tegak di seluruh dunia akan memperbetulkan arah kiblat.

  • Panduan menentukan arah kiblat dari satu tempat pada tarikh dan masa yang ditentukan di atas:
    • Pacakkan satu tiang pada kawasan yang hendak disemak arah kiblatnya.
    • Pastikan tiang berkenaan tegak dan lurus. Bagi menyemak ketegakannya boleh diletak sebarang pemberat yang diikat pada hujung tiang itu.
    • Tempat yang dipilih untuk tujuan ini tidak terlindung daripada sinaran matahari. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang-bayang akan jatuh ke arah timur, arah kiblat ialah bayang-bayang yang menghadap ke barat
Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Kiblat#Matahari_istiwa_atas_Kaabah

Maaf tak dapat terangkan panjang-panjang..

kalau nak check arah kiblat sebenar dan betul terus ke Kaabah di rumah/ofis dengan mudah, jangan lupe harini, 5.16pm ok!
cume lihat tiang yang dipastikan tegak, bayang-bayang tu ke arah Barat tu adalah kiblat kita sebab ketika waktu itu, matahari tepat berada di atas Kaabah.. Mudah bukan? Jadikan alam ini panduan, Maha Suci Allah yang menjadikan sesuatu tidak ada yang sia-sia!

Wednesday, May 20, 2009

Alhamdulillah, dengan Rahmat-Mu






Sebetulnya, menghidupkan blog dengan penuh isi dan ceria belum lagi menjadi satu keutamaan, tapi sekadar suka-suka. Yang memalukan apabila usaha untuk posting yang baru, dok fikir di mana sebenarnya nak tulis (sebab dok pakai buat je sebelum ni, tak ingat dah), sehinggalah ada yang mengajar, thanks mas (AZ).


" Bila nak update blog :)" pertanyaan demi pertanyaan, malu juga bila ramai dah bertanya. Alhamdulillah, dapat juga menulis sesuatu sekadar untuk merelakskan ke'tension'an membuat perkara-perkara pengurusan yang berulangkali, namun masih juga lambat. Benarlah kata Tok Mud "Jadi peneroka perlu tabah, sabar."



Mendapatkan keyakinan bukanlah mudah. Apabila kehendak disertai dengan keyakinan itu ada pasti diredah segala. Degil perlu disertai dengan kewajaran perkara itu dilaksanakan dan tentunya dengan tujuan mendapat redha Allah beserta wasilahnya perlu benar mengikut kehendak Allah dan RasulNya. Menuju kepada wasilah itu tentunya perlukan doa dan munajat serta memohon petunjuk dari Allah supaya ditunjuki mana yang terbaik supaya keyakinan kita tidaklah dengan nafsu dan fikiran kita yang dangkal ini semata-mata. Mengapa bicara tentang keyakinan?

Alhamdulillah, dengan keyakinanlah Allah memberikan kekuatan untuk terus thabat (teguh) dengan pendirian mengambil Syari'ah Falak pada permulaan kursus itu ditawarkan pada tahun 2002 dengan hanya 2 orang srikandi sahaja mengambilnya. Dengan keyakinan jugalah saya melihat pensyarah saya, Prof Dr Mohd Zambri Zainuddin meneruskan juga mengajar kami berdua (kalau seorang tidak datang kelas, seorang sahajalah yang belajar dengan seorang pensyarah), dengan keyakinan jugalah Prof Zambri dan Tok Mud ketika itu nekad meneruskan program Falak tersebut walaupun sedikit dan mempunyai pelbagai masalah sehingga akhirnya kami berdua terpaksa konvo lewat setahun dari sahabat-sahabat se'batch' semata-mata tiada alat untuk kami belajar. Akhirnya, kami hanya mengambil 2 jam kredit satu semester akhir untuk mempelajari subjek tersebut. Benar, apabila difikir-fikirkan, sebenarnya, Prof, Tok Mud dan pensyarah-pensyarah lain pastinya melalui pelbagai liku yang lebih mencabar lagi untuk menjayakan dan mengasaskan sesuatu lebih-lebih lagi asasnya untuk mendidik ummah dan anak bangsa.
Gambar Team Falak dan Fizik Angkasa, Prof Dr Mohd Zambri (2 dari kiri)




Alhamdulillah, dengan rahmat dan peluang yang Allah beri jua, Allah campakkan keyakinan untuk memilih bidang dan tajuk untuk menumpu dalam Phd nanti setelah bertemu dengan pensyarah-pensyarah di Bandung, Indonesia bln 4 yang lepas.. Menariknya, semua pensyarah yang saya jumpa mempunyai sifat yang sama, sangat suka membantu, sangat menghargai kedatangan kita dan sangat terbuka. Sehingga saya mendapat 4 buah buku free tentang Hilal sahaja daripada Dr Thomas Djamaluddin kerana saya memberitahu kepadanya sukar mendapatkan buku Hilal di Malaysia mahupun di Indonesia. Jika himpunan paper memang ada juga tetapi yang dibukukan sememangnya payah dicari kata Pak Thomas.












Dari atas, Dr Thomas Djamaluddin di LAPAN (Lembaga Penerbangan Dan Antariksa Nasional), bersama Pak Taufiq dan rakan-rakan lecturer lain di ITB (Institut Teknologi Bandung).



Alhamdulillah, dengan keyakinan jualah, Allah masih memberi peluang memanfaatkan ruang dan usia yang ada untuk mahabbah dan mawaddah bersama suami tercinta. Moga-moga, Allah terus menyemarakkan mahabbah sehingga akhir hayat dan kelak di syurga bersama jua, Aminn..