Wednesday, November 18, 2009

Esok Raya ke Tidak?




Gambar di teluk Kemang : Prof Dr Mohd Zambri Zainuddin, pensyarah Falak dan Fizik Angkasa.


“ Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditatapkanNya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya kepada orang-orang yang mengetahui” Surah Yunus ayat 5-6

“ Nampak tak anak bulan?” selalu sahaja pertanyaan itu singgah dalam sms atau panggilan telefon bimbit saya setiap kali tibanya hari penentuan awal Ramadhan atau awal Syawal oleh sahabat-sahabat. Saya bukanlah penyimpan Mohor-Mohor Besar, tetapi bagi sahabat yang sentiasa memberikan kepercayaan dan semangat untuk sentiasa menuntut ilmu Falak ini, itulah soalan yang selalu ditanya. Namun, tiada pula SMS seperti itu semasa penentuan awal bulan Zulhijjah bagi menentukan tarikh Hari Raya Korban 10 Zulhijjah, mungkin kerana masyarakat tidak biasa atau tidak prihatin bahawa penentuan 10 Zulhijjah juga memerlukan kepada pencerapan hilal sebagai Fardu Kifayah. Biasanya saya akan ke Teluk Kemang bersama pensyarah dan rakan-rakan dalam makmal Fizik Angkasa Universiti Malaya dan Junior Falak di Akademi Pengajian Islam, UM.

Pada 17 November lepas, buat hampir 8 bulan tak silap, baru saya menjejakkan kaki kembali ke Baitul Hilal Teluk Kemang bagi mencerap Hilal Zulhijjah lantaran mengandung dan cuti bersalin membuatkan saya tak dapat ke sana. Selalu saya ke sana semasa belajar sebagai degree student dan juga master student kerana tajuk kajian projek tahun akhir ijazah sarjana dan kemudian sambung disertasi master juga tentang hilal. Ini juga kali terakhir saya melihat Baitul Hilal kerana akan dirobohkan bagi dibina planetarium dan tempat yang lebih selesa bagi pencerapan hilal dan penyelidikan-penyelidikan astronomi yang lain. Hilang sudah kerinduan pada suasana damai tepi pantai dan berjumpa kembali sahabat-sahabat dari JAKIM, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia). Penyelidikan dari tahun 2000 – 2010 oleh Universiti Malaya, JAKIM, JUPEM dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan tentang Kenampakan Hilal telah dilaksanakan bagi tujuan research dan pengambilan data-data rukyah Hilal selama 10 tahun bagi penambahbaikan kriteria Imkanur Rukyah yang digunapakai di Malaysia.

Wujud pelbagai perbalahan dari pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh Malaysia dan negara-negara lain berhubung masalah kenampakan hilal (boleh rujuk dalam blog ustaz zaharudin) dan penentuan tarikh awal Ramadhan, ‘Aidilfitri dan ‘Aidil Adha lantaran pelbagai kefahaman masyarakat terhadap dalil tentang penentuan awal bulan dan juga kepelbagaian metodologi serta sikap masyarakat memandangnya. Dengan pelbagai interpretasi terhadap nas, maka pelbagai jugalah keyakinan bagi menentukan hilal.



Saya mulakan dengan membentangkan kronologi bagi kita lebih memahami kepelbagaian metod diguanapakai di Malaysia sejak tahun 1972 (sumber dari kertas kerja Dr Azhari Mohamed, Kaedah Penentuan Awal Bulan Islam di Malaysia : Antara Mematuhi Hukum Sains dan Memenuhi Tuntutan Syara’ :-

Sejarah Penetapan Awal Bulan

1972 – 1977

Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam menetapkan bahawa permulaan puasa dan hari Raya Puasa berdasarkan Rukyah dan Hisab Falak.
Anak bulan Ramadhan dan Syawal, kiranya tidak kelihatan kerana terlindung oleh keadaan cuaca, padahal mengikut kiraan Falak, bulan itu tetap ada dan boleh nampak, maka kiraan ahli-ahli Falak boleh digunakan.

Menerimapakai keputusan Majlis Raja-raja ke-78 yang telah diadakan dalam tahun 1967 iaitu Hari Raya Aidil Adha adalah sehari selepas wukuf di Padang Arafah.

9bulan selainnya adalah berdasarkan kepada Ijtima’ Wujudul Hilal : Bila Ijtima berlaku sebelum matahari terbenam pada hari ke-29 dan bulan wujud atas ufuk.

Ijtima’ : kedudukan matahari, bulan dan bumi atas longitud yang sama.

1978

Pada 26-29 November 1978, Muktamar Hilal bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istancul Turki bersetuju :

Bahawa asal hukum rukyah, sama dengan mata kepala atau dengan menggunakan alat-alat moden,
Bahawa bagi menentukan kemungkinan penglihatan anak bulan itu mesti memenuhi 2 syarat utama :

1. Kedudukan matahari dan bulan ketika matahari terbenam tidak kurang 8 darjah.
2. Ketinggian anak bulan pada ketika matahari terbenam tidak kurang 5 darjah.


1978 – 1982
Permulaan puasa dan hari Raya adalah berdasarkan rukyah semata-mata.

1983
Permulaan puasa dan hari raya puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab Falak.
Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bersetuju menerima pakai Deklarasi Istanbul 1978 dengan pengubahsuaian :

Ketika matahari terbenam, ketinggian hilal tidak kurang daripada 5.5darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang 7.5darjah. dan
Umur hilal pada ketika matahari masuk pada hari rukyah kurang dari 8 jam selepas ijtimak.

1991
Pada 4November 1991, Mesyuarat Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya mengubahsuai Kriteria Imkanur Rukyah :

Ketika matahari terbenam, ketinggian hilal tidak kurang daripada 2darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang 3darjah atau
Ketika hilal terbenam, umurnya tidak kurang daripada 8jam.

1992
Pada 1 Jun 1992, Pertemuan Tidak Rasmi MABIMS di Labuan sepakat untuk menerima pakai kriteria tersebut di atas

1994
Pada 6 Jun 1994, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-167 bersetuju agar penentuan Hari Raya Aidil Adha (sehari selepas wukuf di Padang Arafah) dipinda kepada penentuan berdasarkan Kriteria Imkanur Rukyah, iaitu 10 Zulhijjah.

1996
Mesyuarat JK Teknikal Kalendar Islam menetapkan penggunaan kaedah Imkanur Rukyah bagi semua bulan.

* Penjelasan Lanjut tentang Kriteria Imkanur Rukyah boleh lihat :

http://www.islam.gov.my/ppi/almanak/falak/psd/flk/KRITERIA%20IMKANUR.pdf

Mengapa Berbeza?

Terlalu banyak isu dan perbezaan pendapat berhubung penentuan awal Bulan Hijrah terutamanya awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Saya juga telah membentangkan panjang lebar perbezaan pendapat dalam disertasi saya terutamanya kepelbagaian kefahaman terhadap hadith ’lihat anak bulan’ :
Perkataan ra’a (melihat) dalam hadis mengundang pelbagai makna oleh ulama’ :
Diriwayatkan oleh Imam Muslim

إذا رأيتم الهلال فصوموا و إذا رأيتموه فأفطروا فإن غم عليكم فا قدروا له
“Bila kamu melihat hilal, maka berpuasalah dan bila kamu melihat hilal, maka berbukalah. Bila hilal itu tertutup awan, maka takdirkanlah ia.”
Sebahagian ulama’ mengatakan “takdirkanlah” bermaksud cukupkan 30hari dan sebahagian yang lain mengatakan perkirakanlah dengan hisab. Panjang perbahasan ulama’ tentang isu ini dan kebanyakan ulama’ masa kini, khususnya ulama’ besar kita Dr Yusof Al-Qardhawi menyokong hisab bagi penentuan anak bulan masa kini. Pandangan beliau banyak dinukilkan dalam buku Fiqh Puasa antaranya, “Ilmu Falak sekarang sudah dipelajari di pelbagai pengajian tinggi, dibantu dengan teleaskop. Sehingga sekarang, menjadi keputusan antarabangsa bahawa kemungkinan keliru dalam menentukan detik yang dilakukan oleh dewan hisab dan rukyah satu berbanding seratus ribu (1:100,000)

Al-Muhaddith Al-Kabir Al-‘Allamah Ahmad muhammad Syakir telah menulis risalah dengan judul : Awallusy Syukur Al-‘Arabiyah; Hal Yajuzu Itsbatuha bil Hisabil Falaki? “ Dalam Risalah tersebut dijelaskan dengan panjang lebar berdasarkan dalil-dalil yang kuat secara ringkasnya :
“ Bangsa yang ummi, tidak kenal membaca dan menulis, harus berpegang teguh pada rukyah. Tapi bila situasi dan keadaan berubah, di mana umat Islam sekarang sudah pandai menulis dan berhitung, tidak lagi memerlukan bantuan bukan Muslim dalam menentukan hilal. Mereka boleh berpegang pada hisab sebagai ganti Rukyah. Sebab hisab (yang dibantu dengan alat hitungan moden) lebih teliti dan lebih mudah mempersatukan pendapat kaum Muslimin demi membanteras khilaf (perbezaan pendapat) yang merata yang kita lihat pada setiap menentukan awal bulan Ramadhan dan awal bulan Syawal, sehingga sebahagian penduduk memulai puasa pada hari Khamis dan sebahagian lagi pada hari Jumaat, sebahagian lagi hari Sabtu mithalnya.

Saya lebih cenderung kepada pandangan Dr Yusuf Al-Qardhawi yang menurutnya, 3 perkara yang perlu disepakati oleh semua tentang penepatan awal Puasa dan Hari Raya di dalam bukunya Fiqh Puasa.
1) Penetapan masuknya bulan Ramadhan, adalah soalan yang sangat rumit yang harus merujuk pada nas-nas syari’e. Sedangkan ikhtilaf ulama’ dalam hal ini adalah satu rahmat bagi umat Islam. Oleh itu, sesiapa yang menetapkan masuknya bulan Ramadhan berdasarkan saksi seorang atau dua orang yang adil ataupun mensyaratkan ramai orang, tidak jauh berbeza dengan apa yang dikemukakan sebahagian fuqaha’ muktabar. Bahkan sesiapa yang menetapkan masuknya bulan Ramadhan berdasarkan hisab, kita dapati qaul ulama’ salaf yang berpendapat demikian, sejak zaman tabi’in apatah lagi sesudah zaman mereka. Begitu juga orang yang merujuk pada mathla’ ataupun tidak, sama-sama ada contoh dari ulama’ salaf dan sama-sama merujuk dalil. Oleh kerana itu, orang yang mengambil satu pendapat dan ijtihad dari banyak pendapat, maka ijtihad itu tidak boleh menafikan salah satu pendapat orang lain. Qa’idah fiqhiyyah mengatakan : “ Sama sekali tidak ada pengingkaran dalam masalah-masalah ijtihadiyyah.”
2) Bahawa khata’ (keliru) dalam menetapkan persoalan yang semacam ini adalah mughtafar (diampuni Allah). Misalnya, andainya seseorang mengaku telah menyaksikan hilal bulan Ramadhan atau Syawal, sehingga orang-orang berpuasa sehari pada bulan Sya’ban atau berbuka sehari pada bulan Ramadhan, maka insya Allah kekeliruan mereka itu akan diampuni oleh Allah.
3) Bahawa usaha untuk mewujudkan wehdatul muslimin dalam berpuasa dan berbuka serta seluruh syiar dan syari’at mereka adalah perkara yang dituntut sepanjang masa. Tidak boleh berputus asa dalam usaha mencapai wehdatul muslimin dan tidak pula dalam mengatasi rintangan. Satu hal yang harus kita perhatikan dan tidak boleh tafrith (lengah), iaitu kita belum mampu mewujudkan al-wehdah al-juz’iyyah al-khassah antara orang-orang Islam dalam satu negara. Sudah menjadi satu persepakatan di kalangan ulama’ bahawa hukmul hakim (keputusan hakim) atau qarara waliyyil amri ( ketetapan pemerintah Islam) dapat menghilangkan khilaf dalam perkara-perkara yang masih diperselisihkan. Oleh kerana itu, apabila pemerintah Islam sudah menetapkan puasa yang diumumkan melalui lembaga fatwa tertinggi maka sebagai konsekuensinya, kaum muslimin yang berada di negara Islam tersebut harus taat dan komitmen kerana tunduk dalam hal yang ma’ruf. Sekalipun ketetapan itu berbeza dengan ketetapan yang berlaku di negara lain, kerana hukmul hakim di sini memperkuat pendapat : “ Bahawa tiap-tiap negara berpuasa dan berbuka berdasarkan ru’yah (masing-masing).”


Saya ingin mencadangkan kepada pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang penentuan awal bulan supaya melayari website ini dan melihat kertas kerja yang pelbagai dan sangat berguna. Begitu juga tentang kriteria-kriteria kenampakan awal anak bulan dalam :

http://www.icoproject.org/

Maaf sekiranya ada istilah yang tidak dapat dijelaskan dengan panjang lebar. Boleh lihat lebih lanjut dalam website ICOP khususnya tentang kriteria imkanur rukyah yang digunakan. Mungkin juga akan saya sambung dalam entri akan datang.

No comments:

Post a Comment