Tuesday, May 18, 2010
Balai Cerap : Peranan yang Perlu Dimajukan
" Ok, your application has been approved. Nanti abang check kalendar. Take care! :)" abg membalas sms saya untuk confirmation keizinan dari suami ke Balai Cerap Negara di Langkawi pada pertengahan Jun nanti selama seminggu. Alhamdulillah, terima kasih abang!
Sebenarnya dari dulu lagi ingin ke sana, namun hasrat terpaksa dipendamkan dek kerana masa yang tidak sesuai dan pelbagai halangan. Alhamdulillah, moga-moga mudah segala urusan ke sana dan diberi keselamatan dan jauh dari mudarat.
" Jomla datang masa weekend bang, boleh kita jalan-jalan sekali :)" dari dulu suka ajak abang pi langkawi sebab dari kecik tak pernah ke sana, masa parents pergi dulu, sedang belajar di kelantan, alamatnya, tengok gambar je lah.. Namun, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan untuk ke sana : kewangan dan masa. Lagi-lagilah sekarang ini dalam proses penjimatan dek persiapan rumah dan masa abang yang dipenuhi oleh jadual yang padat.
Apa pun, hasrat untuk mempelajari penggunaan teleskop besar di balai cerap negara dan kegunaannya untuk mengambil data-data astronomi menyebabkan saya nekad memenuhi ajakan untuk bersama-sama ke sana.. Memasuki balai cerap negara bukanlah mudah dengan had beberapa orang sahaja. Moga-moga Allah mudahkan segala urusan di sana dan melindungi serta memelihara kami dan memberi kami kefahaman dan ilmu di sana.. Amiin..
............................................................................
Ingin berkongsi kertas kerja yang pernah dibentangkan dalam salah satu seminar di Universiti Malaya..
PERANAN INSTITUSI BALAI CERAP DALAM PEMBANGUNAN KETAMADUNAN ISLAM: SATU SOROTAN
Secara dasarnya, kertas kerja ini memberi tumpuan terhadap fungsi balai cerap sebagai sebuah institusi keilmuan astronomi mengikut citra sains Islam dan kaitannya dengan pembangunan peradaban Islam silam sehinggalah dalam konteks negara Malaysia pada masa kini. Sedemikian itu, fokus penganalisaan kertas kerja ini adalah terhadap keanjalan fungsi institusi balai cerap, faktor jatuh bangun institusi serta prospek dan masa hadapannya yang dilihat mempunyai signifikan tersendiri dalam pembangunan ketamadunan Islam mengikut pemaparan fakta sejarah dan realiti semasa. Justeru, kertas kerja ini distruktur dalam beberapa bahagian yang utama sebagaimana berikut:
1. Pengenalan
a. Astronomi dan konsep institusi balai cerap
2. Institusi balai cerap dalam rangka pembangunan ketamadunan Islam: Sorotan sejarah
a. Sebagai pusat pendidikan
b. Sebagai pusat penyelidikan
c. Simbolisme pencapaian sains dan teknologi
3. Pertumbuhan dan kemerosotan perkembangan institusi balai cerap: Satu Analisis
a. Faktor dalaman: Naungan pemerintah
b. Faktor luaran: Ketidakstabilan politik luaran
4. Cabaran dan prospek masa hadapan institusi balai cerap di Malaysia: Realiti semasa
a. Sebagai pusat dakwah
b. Sebagai pusat astro-pelancongan
5. Kesimpulan
Disediakan oleh:
Khadijah Bte Ismail
Mohd Saiful Anwar Bin Mohd Nawawi
Mohd Sallehuddin Bin Mad Yusof
Mohammaddin Bin Abdul Niri
Calon-calon Sarjana Sains di Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya
Alamat:
Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
PERANAN INSTITUSI BALAI CERAP DALAM PEMBANGUNAN
KETAMADUNAN ISLAM: SATU SOROTAN
Abstrak
Jajahan empayar Islam dari kota Baghdad di timur, kemudian Cordova di barat, sehinggalah ke Samarqand di utara menyaksikan institusi balai cerap terbina di merata tempat lantaran dorongan oleh semangat inkuiri ilmu yang menaungi ketamadunan Islam ketika itu; diantaranya adalah Balai Cerap Shamasiyah di Baghdad, Balai Cerap al-Battani di Rakka (di Syria) dan Balai Cerap Abdul Rahman as-Sufi di Shiraz. Melewati kurun ke-21M sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi, insitusi balai cerap turut mengalami anjakan perubahan sama ada dari aspek struktur, prasarana mahupun fungsi. Di Malaysia kini, beberapa buah balai cerap moden telah didirikan seperti Balai Cerap Negara di Langkawi dan Balai Cerap al-Khwarizmi di Melaka. Mengamati perkembangan tersebut, kertas kerja ini bakal mengulas tentang peranan institusi balai cerap dalam konteks pembangunan peradaban sepanjang tamadun Islam silam dan moden dalam rangka keanjalan fungsi, faktor jatuh bangun institusi serta cabaran dan prospek masa hadapan. Justeru, berdasarkan penganalisaan yang telah dibuat, institusi balai cerap sememangnya mempunyai fungsi tersendiri untuk menyumbang kepada pembangunan ketamadunan Islam dan ia amat dipengaruhi oleh persekitaran politik umat Islam.
PENGENALAN
Astronomi merupakan bidang keilmuan tabi’i yang telah berkembang sejak sekian lama iaitu hampir di setiap tamadun silam seperti Babylon, Mesir, India, Yunani, Greek, China dan termasuklah tamadun Islam. Bidang astronomi adalah bidang pengajian dan kajian ilmu terhadap ruang angkasa serta jasad-jasad samawi dan bahan-bahan yang terkandung di dalamnya. Dalam ketamadunan Islam, bidang ilmu astronomi dicitrakan dalam kerangka epistemologi keilmuan Islam iaitu bersumber wahyu, rasional dan empirikal. Keutamaan aplikasinya diperingkat awal lebih terjurus dalam konteks ibadah, namun gunaannya terus berkembang sejajar dengan sistem ketamadunan yang semakin kompleks sehingga ia melahirkan lapangan ilmu yang lain seperti ilmu fizik optik, fizik mekanik, fizik atmosfera, matematik geometri dan matematik trigonometri. Lantaran itu, bidang ilmu ini cukup sinonim dengan jolokan the Queen of Sciences dan the primordial and the frontier of exact science.
Dalam realiti harian, ilmu astronomi sebenarnya telah diterap secara tidak langsung dalam kehidupan manusia iaitu tatkala manusia melihat kearah langit kemudian memerhati fenomena yang berlaku terhadap objek-objek cakerawala, selanjutnya berfikir mengenai kejadian tersebut. Proses yang berlaku terus-menerus ini menanamkan semangat inkuiri manusia untuk lebih mengetahui tentang hakikat alam langit dan kuasa disebalik hakikat tersebut. Sebelum kedatangan syariat Islam seperti dalam tamadun pra-Yunani dan Yunani misalnya, ilmu astronomi sebagai sebahagian daripada komponen ilmu tradisi lebih bersifat abstrak, mitos, generalisasi iaitu theoria dan spekulatif sebagaimana corak keilmuan pada ketika itu. Dalam era ketamadunan Islam berikutnya, ilmu astronomi serta bidang keilmuan yang lain telah direkayasa dengan identiti praktik, rasional dan empirikal yang berteraskan wahyu. Disebabkan itu, bagi memudahkan dapatan kefahaman yang lebih jitu mengenai alam langit terutamanya bagi terapan ibadah, para ilmuan Islam telah menyusun aktiviti cerapan astronomi secara sistematik antaranya adalah melalui penginstitusian tempat cerapan iaitu penubuhan institusi balai cerap disamping penciptaan instrumentasi astronomi.
PERANAN INSTITUSI BALAI CERAP DALAM RANGKA PEMBANGUNAN KETAMADUNAN ISLAM: SOROTAN SEJARAH
Institusi pertama yang telah diakui menjadi catalyst kepada pembangunan peradaban Islam adalah masjid. Sumbangan yang diberikan oleh institusi masjid terhadap perkembangan awal Islam adalah amat besar kerana pengolahan fungsinya bukan setakat sebagai tempat solat semata-mata, bahkan ia juga meliputi peranan sebagai pusat pentadbiran negara, pusat pertemuan para pemimpin masyarakat Islam, pusat penjanaan aktiviti intelektual, pusat pembangunan ekonomi, pusat kebajikan masyarakat dan pusat integrasi sosial. Dari perspektif sejarah pendidikan, fungsi masjid yang dinamik terpapar dengan peranannya sebagai sebuah perpustakaan, kompleks penyelidikan dan universiti. Bertitik tolak daripada institusi masjid, penginstitusian sistem dan prasarana intelektual umat Islam seterusnya telah dikembangkan secara mandiri dan holistik melalui pewujudan institusi-institusi lain seperti pusat terjemahan, pusat keilmuan dan pendidikan tinggi, pusat perubatan dan yang menjadi tumpuan kertas kerja ini iaitu pusat cerapan yakni institusi balai cerap. Meneliti secara mendalam, didapati terdapat tiga fungsi yang telah dimainkan oleh institusi balai cerap dalam pembangunan ketamadunan Islam silam iaitu (i) sebagai pusat pendidikan, (ii) sebagai pusat penyelidikan dan (iii) sebagai simbolisme pencapaian sains dan teknologi. Menurut Hairudin Harun, para sejarawan sains telah bersepakat bahawa tradisi sains Islam sebenarnya telah bermula di institusi balai cerap. Institusi ini bukan setakat berfungsi sebagai pusat penyelidikan, bahkan ia turut berperanan sebagai makmal, perpustakaan, tempat latihan dan universiti.
Dalam tamadun Islam silam, perkembangan institusi balai cerap banyak tertumpu di bahagian timur empayar Islam iaitu di kota Baghdad dan Damsyiq disamping terdapat juga beberapa buah di barat empayar Islam iaitu di Andalus. Secara kronologi, institusi balai cerap mula dibina dalam abad ke-9M dibawah naungan khalifah Abu Jacafar al-Ma’mun Ibn Harun (m. 833M) di sekitar kota Baghdad dan Damsyiq. Bayt al-Hikmah yang siap dibina era khalifah al-Ma’mun turut memiliki fungsi sebagai pusat cerapan astronomi. Disamping bayt al-hikmah, institusi balai cerap yang telah ditubuhkan antaranya adalah balai cerap Syamasiyah di Baghdad yang terletak dibawah kelolaan Muhammad Ibn Musa al-Khwarizmi (m. 840M), balai cerap Raqqa yang terletak di Syria diselia oleh Muhammad Ibn Jabir al-Harrani al-Battani (m. 929M) dan balai cerap cAbdul Rahman al-Sufi (m. 986M) di Shiraz.
Semasa di bawah pemerintahan Seljuk iaitu Sultan Jalal al-Din Malikshah (m. 1092M), sebuah balai cerap diraja telah dibina dan salah satu daripadanya merupakan tempat cUmar al-Khayyam (m. 1123M) membuat cerapan dan penyelidikan sehingga beliau dapat menghasilkan takwim Jalali. Pada tahun 1023M, sebuah lagi balai cerap dibina di Hamedan, Iran dibawah kendalian Ibn Sina (m. 1037M). Di awal abad yang ke-11M ini juga di kawasan Andalus, sebuah balai cerap telah dibina di Toledo yang dikendalikan oleh Abu Ishaq Ibrahim Ibn Yahya al-Naqqash al-Zarqali (m. 1087M). Hasilnya, al-Zarqali telah dapat menghasilkan sebuah buku astronomi yang cukup dikenali oleh para sarjana barat dan ia dikenali sebagai Zij Toledo. Buku ini mengandungi beberapa teori astronomi semasa dan modul-modul matematik yang telah memainkan peranan yang amat penting kepada perkembangan ilmu astronomi di dunia Barat. Disamping itu, terdapat juga institusi balai cerap yang dibina secara persendirian seperti yang dimiliki oleh Abu Muhammad Jabir Ibn Aflah (m. 1250M). Balai cerapnya dibina di menara Giralda di kawasan Seville dan ia juga dikenali sebagai The Tower of Seville.
Dalam tempoh yang selanjutnya selepas abad ke-12, empayar Islam di timur dan barat mula mengalami kemunduran dan kemerosotan dari pelbagai aspek. Disamping mempunyai konflik dalaman dan persaingan dengan empayar Islam di timur, empayar Islam Umayyah Andalus turut menghadapi ancaman daripada kebangkitan kerajaan Kristian di Eropah dibawah misi Perang Salib dan ia berlanjutan sehingga membawa kepada kejatuhan ibu kota Andalus, Cordoba ke tangan tentera Salib pada tahun 1236M. Kejatuhan tersebut sekaligus mematikan aktiviti keilmuan dan tradisi keislaman di Andalus. Di sebelah timur pula, pada tahun 1258M telah menyaksikan penjarahan kota Baghdad oleh tentera Mongol yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Abbasiyah, banyak institusi sains dan pendidikan telah musnah sekaligus menyumbang kepada kemerosotan aktiviti keilmuan umat Islam. Ironinya, setelah keruntuhan kota Baghdad di timur, perkembangan ketamadunan Islam yang berlaku dalam tempoh selanjutnya cukup mengagumkan tidak sepertimana di Andalus, kerana pengislaman orang-orang Mongol yang berlaku selepas itu telah membawa kepada pemulihan semula aktiviti keilmuan terutamanya pertumbuhan kembali institusi balai cerap walaupun sebenarnya ia tidaklah dapat mengatasi pencapaian yang telah dikecapi sebagaimana kerajaan Abbasiyah sebelum itu.
Institusi balai cerap yang pertama sekali ditubuhkan selepas kejatuhan Baghdad adalah di Maragha pada tahun 1259M. Pembinaannya adalah di bawah arahan Hulagu Khan iaitu cucu kepada Genghiz Khan diatas nasihat Nasir al-Din al-Tusi (m. 1274M). Institusi balai cerap ini dilengkapi dengan sebuah perpustakaan, berfungsi sebagai sebuah kolej dan menjadi pusat penyelidikan sains termaju ketika itu kerana ia turut dilengkapi dengan instrumentasi astronomi yang paling canggih. Sebagai sebuah pusat pendidikan, balai cerap Maragha bukan setakat menyediakan pengajian astronomi bahkan ilmu-ilmu sains tabi’i yang lain kecuali ilmu perubatan dan ia menjadi model contoh kepada pembinaan balai cerap di barat. Diantara ilmuan sains terkemuka yang pernah bertugas di balai cerap ini adalah Nasir al-Din al-Tusi, al-Abhari (m. 1265M), al-Qazwini (m. 1276M), Qutb al-Din al-Shirazi (m. 1311M) dan Ibn al-Shatir (m. 1375M) serta seorang ahli sains berbangsa China iaitu Fao-MinJi. Dalam tahun 1274M, institusi ini telah dapat menghasilkan sebuah jadual cerapan astronomi yang cukup terkenal iaitu Ilkhanid Zij. Dalam abad yang sama juga, di sebelah Afrika Utara, kerajaan Fatimiyyah dibawah pemerintahan al-Hakim turut membina balai cerap di Kaherah dan ia pernah digunakan oleh Ibn Yunus.
Dalam abad ke-15M, di Samarqand, kini di Turkestan iaitu sebuah kawasan yang terletak di utara jajahan Islam, Ulugh Beg selaku pemerintah ketika itu merupakan seorang ahli astronomi yang cukup terkenal. Minatnya yang kuat terhadap bidang astronomi telah membawa kepada pembinaan sebuah balai cerap yang canggih di Samarqand. Institusi balai cerap ini bukan setakat dilengkapi dengan pelbagai peralatan astronomi bahkan merupakan binaan yang memaparkan kecanggihan arkitek dan kejuruteraan Islam pada masa itu. Antara ilmuan sains yang pernah bertugas di balai cerap ini adalah Jamshid Ghiyath al-Din al-Kashi (m. 1429M), Qadi Zada al-Rumi (m. 1436M), cAli Qushji (m. 1474M) dan Miram Kelabi. Dalam abad ke-16 berikutnya, di Istanbul di bawah pemerintahan Sultan Uthmaniyah iaitu Sultan Murad III, beberapa buah balai cerap turut dibina dan ilmuan falak yang cukup terkenal ketika itu adalah Taqi al-Din. Malangnya, lantaran konflik politik semasa telah menyebabkan Sultan mengarahkan supaya balai cerap Istanbul tersebut dirobohkan. Berlangsungan setelah itu, pencapaian keilmuan sains khususnya pertumbuhan institusi balai cerap di jajahan Islam terus mengalami kemerosotan dan sebaliknya tradisi kecemerlangan sains ditransmisi dan diwarisi oleh Barat yang terus mengalami revolusi peningkatan.
PERTUMBUHAN DAN KEMEROSOTAN PERKEMBANGAN INSTITUSI BALAI CERAP: SATU ANALISIS
Institusi balai cerap adalah pusat aktiviti ilmu astronomi yang serba lengkap dengan kapasiti keilmuan sebagai pusat pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan. Sebagai salah satu komponen yang mendirikan kemajuan ilmu astronomi dan pencetus tradisi sains Islam, maka jatuh bangun intitusi balai cerap dalam kertas kerja ini bakal dikupas dalam rangka jatuh bangunnya keilmuan sains Islam itu sendiri. Penilaian berasaskan rangka ini adalah berpandu kepada kesepaduan institusi balai cerap sebagai sebahagian daripada prasarana intelektual sains. Mengupas dengan lebih lanjut berkaitan dengan hal tersebut, kemunduran sains Islam dari perspektif sejarah dapat dirumuskan dalam dua bentuk faktor iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Dalam konteks penganalisaan faktor-faktor ini, penyelidik menggunakan struktur pemikiran pseudo paradigm-shift oleh Muhyar Fanani (2007), kaedah penilaian sejarah pengetahuan tersebut pada hemat penyelidik padan untuk diaplikasi kerana ia lebih bersifat pembaikan yang mendasar terhadap subjek yang dianalisa.
Menurut Muhyar Fanani dalam dapatan kajiannya terhadap faktor-faktor kemunduran ilmu-ilmu agama khususnya ilmu Usuluddin seperti ilmu kalam, ilmu tasauf dan ilmu falsafah, konflik ilmu atau pertembungan paradigma dalam lapangan ilmu-ilmu agama Islam yang membawa kepada kemenangan suatu paradigma mengatasi yang lain tidak berlaku mengikut kerangka ilmiah yang adil dan sepatutnya sebagaimana yang disarankan oleh Thomas S. Kuhn melalui teori paradigm-shift. Sebaliknya, kejayaan sesuatu paradigma dalam ilmu-ilmu agama Islam mengatasi yang lain adalah dipengaruhi oleh faktor kuasa politik. Campur tangan kuasa politik ini telah mengakibatkan kebebasan ilmiah tertutup dan kemenangan paradigma tertentu yang didokong oleh kuasa politik belum tentu mampu dan teruji keupayaannya untuk menjawab anomali atau krisis ilmu yang dihadapi semasa itu. Sebagai penyelesaian, Muhyar Fanani menyarankan supaya dunia akademik dimasyarakatkan dan demokrasi ilmiah dalam konflik ilmu diwujudkan dengan bebas daripada campurtangan politik.
Sedemikian itu, jika diamati corak pertumbuhan dan kemerosotan keilmuan sains Islam dan infrastruktur intelektualnya termasuk institusi balai cerap sepanjang sejarah ketamadunan Islam, ia turut mengalami gejala yang serupa. Pertama, faktor dalaman iaitu naungan pemerintah. Misalnya, semasa kerajaan Umayyah Andalus memerintah dengan mazhab Hanbali sebagai mazhab rasmi kerajaan, ilmu falak dan ilmu falsafah kurang mendapat perhatian. Lantaran pandangan mazhab Hanbali yang sempit terhadap soal-soal yang berkaitan dengan ilmu falsafah dan ilmu tabi’i seperti ilmu falak, sesiapa yang mempelajari ilmu tersebut dianggap sebagai kafir zindiq oleh masyarakat dan keadaan ini berlarutan dalam suatu tempoh yang lama. Dalam tempoh yang kemudian pula, Abu Bakr Ibn Bajja (m. 1138M) seorang ahli falak yang cukup terkemuka mempunyai beberapa buah balai cerap dan dipercayai ia adalah hasil daripada hadiah daripada tokoh pembesar Islam pada ketika itu. Beberapa fakta sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, kecenderungan para pemerintah terhadap aktiviti astronomi telah membawa kepada penubuhan balai cerap di kawasan mereka. Perubahan naungan pemerintah juga sebaliknya mengakibatkan institusi ini turut diabaikan.
Kedua, faktor luaran iaitu ancaman ketidakstabilan politik luaran. Kempen Perang Salib yang akhirnya berjaya menawan kota Andalus di sebelah barat dan serangan tentera Mongol ke atas kota Baghdad di sebelah timur telah mengakibatkan kehancuran prasarana intelektual sains Islam secara ketara, walaupun wujud pemulihan semula oleh orang-orang Mongol Islam di sebelah timur selepas itu, tetapi pemulihan tersebut tidak dapat menandingi kehancuran landskap politik umat Islam secara menyeluruh kerana implikasinya turut melimpah secara langsung keatas perkembangan sosial dan ekonomi sehinggakan aktiviti saintifik dan institusi sains dalam masyarakat Islam tidak lagi dapat ditaja.
Sehubungan itu, perspektif yang dikemukakan penyelidik terhadap jatuh bangun institusi balai cerap disini dan sains Islam secara umumnya adalah dari satu sisi sahaja iaitu berlunaskan kerangka penilaian oleh Muhyar Fanani (2007). Sungguhnya, terdapat pelbagai lagi faktor lain yang berantai namun asas yang paling penting untuk disedari sebenarnya adalah semangat inkuiri ilmu para ilmuan Islam silam yang didorong oleh wahyu telah menggetus daya berijtihad dan merupakan intipati penting kepada kejayaan pembangunan ketamadunan umat Islam silam pada masa itu sama ada yang bersifat material mahupun intelektual. Semangat ini juga merupakan dinamo utama yang telah menjana penginstitusian dan pengkaedahan bidang keilmuan Islam secara sistematik termasuklah institusi balai cerap.
CABARAN DAN PROSPEK MASA HADAPAN INSTITUSI BALAI CERAP DI MALAYSIA: REALITI SEMASA
Dalam dunia masa kini, kapasiti fungsi institusi balai cerap telah berada ditahap yang semakin tinggi dan maju. Dalam ruang perkembangan instrumentasi astronomi di institusi balai cerap sepanjang ketamadunan Islam silam semuanya bercorak analog dan bukan optik contohnya instrumen yang cukup dikenali iaitu sukuan (rubuc mujayyab/quadrant) serta aktiviti cerapan dan penyelidikan astronomi silam hanya tertumpu kepada julat gelombang cahaya nampak. Kini, peralatan astronomi adalah cukup canggih dan aktiviti cerapan telah berkeupayaan untuk mencerap julat gelombang selain daripada gelombang cahaya nampak. Ini kerana setiap objek samawi mengeluarkan gelombang elektromagnet seperti gelombang radio, gelombang inframerah, gelombang ultraungu, gelombang gamma dan gelombang sinar-x; setiap julat gelombang elektromagnet ini dapat dicerap dengan menggunakan instrumentasi khas dan kaedah astronomi yang tertentu seperti melalui kaedah astrometri, spektroskopi dan fotometri. Dengan peningkatan upaya dan kapasiti ini, orientasi dan dapatan kajian oleh institusi balai cerap telah semakin berkembang dan banyak membantu manusia dalam memahami fenomena dan kejadian alam. Kajian moden yang terangkum dibawah bidang astronomi juga telah meliputi aspek kajian sains yang pelbagai seperti kajian sistem kalendar, kajian terhadap matahari dan bintang, kajian bahan antaranajam, kajian jirim hitam dan kajian atmosfera.
Di Malaysia, bidang astronomi hakikatnya masih lagi berada ditahap permulaan berbanding di negara-negara maju. Jika dilihat dari segi nisbah ahli astronomi profesional (yang memiliki sekurang-kurangnya MSc) berbanding dengan penduduk Malaysia adalah sebanyak 1: 2.8 juta penduduk, sebaliknya di Amerika Syarikat nisbah tersebut adalah pada 1: 50,000 penduduk. Dari aspek prasarana, di Malaysia hanya terdapat 7 buah institusi balai cerap termasuk yang akan dibina berbanding di negara Jepun terdapat 150 buah institusi balai cerap awam semasa ini yang dikendalikan oleh kerajaan tempatan. Institusi balai cerap yang terdapat di Malaysia adalah Balai Cerap Negara di Langkawi, Balai Cerap al-Khwarizmi di Melaka, Balai Cerap UDM di Terengganu, Balai Cerap al-Battani di Sabah, Balai Cerap Universiti Malaya dan dua buah balai cerap yang akan dibina di negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Dengan dasar kerajaan semasa yang masih lagi mengambil berat terhadap aspek pembangunan sains dan teknologi, maka institusi balai cerap yang ada perlu dimaksimakan fungsinya agar ia dapat menjadi mangkin yang menyuburkan lagi budaya keilmuan dikalangan rakyat.
Pada peringkat permulaan ini, saranan yang dikemukakan oleh Mohd Zambri Zainuddin (2007) wajar diberi perhatian. Penyelidikan astronomi di negara ini lebih baik dimulakan dengan penyelidikan astronomi yang berorientasikan ibadah. Disamping sebagai pusat penyelidikan, institusi balai cerap boleh memainkan peranan sebagai pusat yang memasyarakatkan keilmuan astronomi dikalangan rakyat sekaligus membantu penjanaan inkuiri ilmu. Berikut adalah beberapa contoh penyelidikan astronomi yang berorientasikan ibadah; Pertama, kajian kriteria kenampakan hilal. Kajian ini adalah amat penting terutama untuk menilai semula taqwim Hijriah yang berasaskan kriteria imkanur rukyah yang digunakan oleh negara-negara MABIMS (Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura). Pelaksanaan penyelidikan ini di Malaysia membabitkan koordinasi diantara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan Jabatan Mufti Negeri. Kedua, kajian kecerahan langit senja dan langit subuh. Kajian ini menggunakan peralatan yang mudah dan murah. Pemerolehan data melalui kajian ini adalah penting untuk menilai dan memantapkan lagi kriteria masuk waktu solat Isya’, waktu solat Subuh dan waktu Syuruk. Ketiga, kajian pengukuran pembiasan di ufuk. Kajian ini dilaksanakan untuk melihat sama ada nilai piawai antarabangsa boleh diterima atau tidak untuk pengiraan kedudukan bulan dan matahari. Melalui pengukuran kedudukan matahari misalnya, pemerolehan data yang lebih jitu untuk menentukan waktu masuk solat Zuhur dan waktu solat Asar dapat dilakukan.
Setelah upaya kajian ini dapat dilaksanakan, barulah usaha serius ditumpukan lagi kearah penyelidikan astronomi yang lebih kritikal iaitu mengenai kajian keatas jasad-jasad langit jauh seperti bintang, planet, nebula, quasar dan galaksi. Setara dengan usaha tersebut, penggunaan instrumentasi astronomi yang lain mesti dipelajari semahir mungkin seperti teleskop dan kamera CCD (Charge Couple Device) termasuklah juga kaedah-kaedah penyelidikan astronomi seperti astrometri, fotometri, spektroskopi dan astrofotografi. Justeru itu, dengan perancangan penyelidikan yang berperingkat ini, institusi balai cerap pasti dapat memain fungsinya memasyarakatkan keilmuan astronomi dan aktiviti saintifik dikalangan orang awam secara efektif.
Dari sisi yang lain, institusi balai cerap di Malaysia boleh mengambil manfaat daripada persekitaran masyarakat yang ada iaitu dengan usaha galakan pelancongan dalam negeri yang dilaksanakan oleh kerajaan. Institusi balai cerap dan aktiviti astronomi boleh dijadikan salah satu daripada produk pelancongan sedia ada. Secara tidak langsung, lokasi balai cerap tersebut boleh menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk dikunjungi. Ini menjadikan usaha pemugaran budaya ilmu dikalangan masyarakat menjadi lebih berkesan dan inovatif. Usaha ini yang telah dilaksanakan oleh Balai Cerap al-Khwarizmi di Melaka wajar dijadikan contoh.
Dalam perkembangan pembinaan institusi balai cerap di Malaysia, sesuatu yang amat menarik dan perlu diberi perhatian adalah aspek pengendalian institusi. Balai cerap al-Khwarizmi di Melaka, Balai Cerap al-Battani di Sabah dan dua buah balai cerap yang akan dibina di Selangor dan di Negeri Sembilan adalah terletak dibawah seliaan Jabatan Mufti Negeri. Memanfaatkan ruang ini, maka institusi balai cerap boleh memain peranan secara tidak langsung sebagai pusat dakwah setempat yang mendekatkan masyarakat awam kepada agama Islam melalui aktiviti astronomi. Selain itu, aktiviti dan pendidikan keagamaan boleh dicanangkan sebagai sebahagian daripada rangka kerja institusi balai cerap. Fungsi ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi usaha pembinaan sains Islam yang berlunaskan wahyu dan ia mampu disampaikan kepada masyarakat.
KESIMPULAN
Berasaskan sorotan ringkas sejarah ini, pertumbuhan dan pengabaian institusi balai cerap di sepanjang ketamadunan Islam ternyata amat berkait rapat dengan keadaan dan kestabilan kuasa politik umat Islam. Dari segi fungsinya, institusi ini telahpun memain peranan yang amat penting dari dahulu sehingga kini sebagai pusat penyelidikan dan pusat pengajian ilmu. Dalam realiti semasa di Malaysia, fungsinya boleh dimanfaatkan sebagai pusat dakwah setempat dan pusat astro-pelancongan sekaligus boleh membantu usaha pembudayaan ilmu dikalangan masyarakat awam. Kewujudannya dalam ketamadunan silam dan kini melambangkan nilai keintelektualan Islam dan secara tidak langsung menzahirkan kecenderungan minat para pemerintah dan masyarakat terhadap keilmuan astronomi serta bidang sains dan teknologi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
salam. boleh x saya dapatkan kertas kerja ni dalam bentuk pdf ataupun word?
ReplyDelete