Friday, October 7, 2011

Umrah Bersama Si Kecil





Saya rasa sangat bersalah kerana meninggalkan penulisan blog dan penulisan dalam Majalah Muslimah terlalu lama. Walaupun dalam kepala saya terlalu banyak perkara ingin dikongsi bersama, namun saya rasa masa terlalu berharga untuk buat perkara selain review literature terhadap topic kajian Phd saya yang bermula semester ini, mendaftar pada 12 September 2011. Tiba-tiba sahaja, masa pantas berlalu, 12 Oktober ini, bakal sebulan saya bergelar pelajar, namun terlalu sedikit yang saya lakukan. Mungkin kerana saya juga yang tidak pandai membahagi masa dan masa yang ada digunakan untuk melayan anak, suami dan membuat kerja-kerja rumah yang lain. Sebab itulah saya amat kagum dengan ramai orang yang dapat menghabiskan phd mereka pada masa yang ditetapkan walaupun mempunyai pelbagai taklifan lain dan mempunyai anak yang lebih ramai. Saya perlu lebih rajin dan banyak menguatkan semangat, fizikal dan mental untuk menjadi seorang penulis yang baik (perlu selalu menulis untuk mengasah skill penulisan) 

“Dijah, kongsilah pengalaman awak buat umrah dengan anak kecil!” saya kira beberapa kali juga Ain, sahabat karib saya mencadangkan, dalam facebook dan juga ketika bertemu . Ada juga 2,3 orang yang juga mencadangkan begitu. Memang dari balik umrah, teringin menulis sesuatu, namun sampai sekarang masih lagi ‘kosong entry’. Saya pula bukanlah orang terbaik untuk berkongsi, ramai lagi yang pernah membawa anak kecil sehingga 2,3 orang ke sana.

Alhamdulillah, 23 September yang lepas, genap setahun Abdullah Amin. Syukur pada Allah yang telah memberi umur kepadanya dan dalam keadaan sihat. Terlalu sukar untuk melalui hari-hari membesarkannya dan menghantarnya ke pengasuh kerana saya akan fobia setiap kali saya mendapat sms dan call dari pengasuh. Walaupun pengasuh cuma ingin bertanyakan sesuatu dan meminta sesuatu, darah saya tetap akan berderau setiap kali terpandang handphone dengan paparan nama pengasuh. Sukar sekali untuk berasa tenang dek kerana fobia dengan kejadian lepas. Hanya kepada Allah dipanjatkan doa dan sebaik-baik penjaga adalah Allah.

“ Kalau boleh tinggalkan anak, better tinggalkan sebab kita ke sana untuk menumpukan masa beribadah kepada Allah” begitulah antara maksud kata-kata Shahidra, rakan rapat, juga, junior sebilik saya yang pernah mengerjakan umrah bersama suami dan menceritakan pengalaman sahabat yang membawa 2 anak kecil tidak dapat mengerjakan ibadah solat sunat lantaran menjaga anak. Setelah saya sendiri melalui perkara yang sama, saya seperti bersetuju dengan pandangannya. “Jaga anak wajib, dahulukan yang wajib baru sunat.” Kata-kata bapa mertua saya pegang dan ingatkan sentiasa dalam hati walaupun jauh di sudut hati kecil saya, sangat berasa sedih kerana tidak dapat mengerjakan solat sunat dan juga tidak semua waktu dapat berjemaah di Masjidilharam dan Masjid Nabawi. Melihatkan keadaan Abdullah yang sedang melasak, menarik tudung orang yang tidur di masjidilharam sehingga orang tersebut marah kepada saya, menangis kerana ‘boring tidak dapat merangkak ke sana sini dan main dengan ‘happy’nya, mengamuk kerana terlalu keletihan dan mengantuk, saya dan suami terpaksa membuat keputusan supaya Abdullah dan saya perlu solat dan berehat di hotel sahaja pada masa-masa tertentu.

Bermula dengan perjalanan pergi menaiki kapalterbang, Abdullah sangat gembira sehingga ‘tawaf’ dalam flight merangkak sana sini. Setelah penat, barulah tidur keletihan. Perjalanan selama hampir 7 jam dirasakan lambat kerana teruja dan tidak sabar menjejakkan kaki ke tanah haram Madinah. Sebelum pergi ,Abdullah selesema dan batuk, menyebabkan hati saya risau kerana selalunya selepas itu dia akan demam, namun Alhamdulillah, Allah membantu dan memudahkan banyak perkara. Apabila berada di hotel, Abdullah akan selesema, jika di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, tidak selesema. Barakahnya tempat yang Allah janjikan pahala berlipatkali ganda bersolat di sana berbanding masjid-masjid lain.

Di Masjid Nabawi, saya berasa sedikit selesa kerana tempat muslimat dan muslimin yang berasingan, memudahkan untuk berehat dan menyusukan Abdullah. Saya rasa lebih tenang. Alhamdulillah, walaupun rasa tidak puas 2 hari sahaja berada di Madinah, hati sentiasa berdoa supaya dapat ‘bertemu’ Rasulullah dan solat di Raudhah. Memandangkan waktu di Bulan Ramadhan, ramai sangat yang ingin masuk ke Raudhah, saya dan Abdullah menunggu dari selepas Zohor sehinggalah hendak masuk Asar. Alhamdulillah, ada muslimah yang menawarkan diri memegang Abdullah dan menyuruh saya solat sunat di Raudhah selain berdoa di sana. Hati ghalat juga kerana sepanjang berada di madinah, masa yang terlalu suntuk menyebabkan kami tidak berkesempatan berziarah di tempat lain selain Masjid Nabawi. Moga-moga dapat kami ke sana lagi umrah dan ziarah dengan masa yang lebih panjang. Hati sentiasa terasa sayu mengenangkan terlalu besar pengorbanan Rasulullah menyampaikan dakwah dan menyayangi ummatnya, mudah-mudahan beroleh syafaat dari baginda di hari akhirat sana.

Perjalanan ke Mekah menunaikan umrah terlalu banyak ujiannya. Hari yang panas, tiada mutawwif yang membawa kami, berbekalkan sedikit ilmu, kami menunaikan umrah. Oleh sebab suami ada conference selepas tarawikh sehingga sahur, maka kami perlu menhabiskan rukun-rukun umrah sebelum Maghrib juga. Berbekalkan doa, kami gagahkan diri juga sama-sama bertawaf dalam keadaan panas terik 3petang waktu Mekah dengan kerisauan juga Abdullah akan terdehidrasi. Botol airnya habis dek keranan terlalu haus dan Abdullah menangis setelah pusingan kelima kerana kepanasan dan haus. Setelah solat sunat habis tawaf, saya bergegas masuk ke dalam Masjidilharam mendapatkan air. Alhamdulillah, seorang nenek tua dari Turki memberi air zamzam kepada Abdullah dan membasahkan kepala dan badan Abdullah sambil tersenyum menggeleng-geleng kepala kerana kami bertawaf membawa anak kecil di panas terik. Perkara yang saya dan suami sangat kagum sepanjang kami berada di Makkah adalah betapa kasih dan sayangnya masyarakat Turki terhadap anak kecil. Beberapa kali kami lihat golongan tua Turki megusap-usap kepala Abdullah, memberinya minum, membasahkan kepalanya dengan air zam zam dan memberinya hadiah berupa Yasin.

Kesimpulan yang dapat saya kongsikan dari pengalaman saya,
1) Pastikan sebelum berangkat, bawa ubat-ubatan untuk diri sendiri dan standby ubat demam baby selain barangan baby yang cukup.
2) Rancang perjalanan umrah dengan baik supaya dapat mengerjakan tawaf pada masa redup untuk menjaga kemaslahatan dan kesihatan baby kerana tawaf tiada bumbung, tetapi saie ada bumbung dan berair cond.
3) Sentiasa memberi air masak dan air zam zam yang cukup kepada baby supaya tak terhidrasi.
4) Memerhati dan menjaga anak kerana ada juga kes anak hilang apatah lagi anak yang sudah boleh berjalan dan merangkak.
5) Perbanyakkan doa sebelum dan semasa mengerjakan umrah dan ziarah, insyaAllah Allah akan mudahkan dan beri apa yang kita hajatkan.

Moga perkongsian sedikit ini dapat dimanfaatkan bersama. Rabbana taqabbal minna ‘umratana wa du’aana wa ibadatana..

1 comment:

  1. Salam Saudara..

    Saya bercadang mahu mgerjakan umrah bersama suami dan anak kecil berumur 2taun ++ awal taun depan..terima ksih kerana sudi berkongsi cerita/pngalaman umrah bersama ank kecil di sini..

    sya tringin skli utk mbawa ank kecil bersama utk umrah nanti dan sedang mcri2 pngetahuan sebagai persediaan sdri nti..

    semoga Allah permudahkan perjalan idadah saya, suami sekeluarga nti.

    ReplyDelete