Monday, October 26, 2009

NUR FATIMAH MILIK ALLAH




NUR FATIMAH MILIK ALLAH



“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa di muka bumi dan tidak pula pada dirimu melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh, yang demikian itu sangat mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) agar kamu tidak berdukacita terhadap apa yang luput darimu dan supaya kamu tidak terlalu bergembira terhadap apa yang Dia berikan kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Surah Al-Hadid : 22-23

“ Tidak ada satu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Surah at-Taghaabun : 11

“ Tidak ada seorang pun yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan : Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un, Allahumma’jurnii fi mushibatii wa akhliflii khoirom-minha ( Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kita akan kembali. Ya Allah, berilah pahala atas musibah yang menimpaku ini dan gantilah aku dengan yang lebih baik darinya) kecuali Allah akan memberi pahala atas musibah yang menimpanya dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik darinya.”

Muslim 2/233

“ Allah berfirman : “Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang beriman jika Aku mengambil (mewafatkan) orang yang dicintainya di antara penduduk dunia ini, lalu dia mengharap pahala atas musibah ini kecuali syurga”

Al-Bukhari dalam al-Fath : 11/242

“ Rasulullah SAW berkata kepada seseorang yang ditinggal mati anak lelakinya, “ Apa kamu tidak suka bila kamu masuk salah satu pintu syurga sedang engkau mendapati anakmu itu sudah menantimu?”

Ahmad dan an-Nasa’i. Sanad sesuai syarat as-shahih serta ditashihkan oleh al-Hakim dan Ibnu Hibban. Lihat Fathul-Bari : 11/243


Ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith inilah yang sentiasa membantu kami tenang sepanjang tempoh Nur Fatimah di ICU dan melihat sendiri puteri kami berhenti bernafas.. Ibu ayah mana yang tidak sayangkan anaknya dan sedih melihat penderitaan kesakitan anaknya, namun janji-janji Allah yang sentiasa mendamaikan dan membantu kami tabah dan redha.. Syukur pada Allah yang memberikan kami kekuatan, ketabahan dan redha dengan segala yang berlaku..Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mendoakan kami..


PENGHARGAAN BUAT KELUARGA DAN SAHABAT

Kesempatan ini, saya dan suami ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kaum keluarga, mak, mama, baba, abang2, kakak2, adik2, sanak saudara dekat dan jauh serta sahabat-sahabat dekat dan jauh atas segala bentuk sokongan, doa dan ziarah dari awal Nur Fatimah dimasukkan ke wad kanak-kanak, ICU dan sepanjang jenazahnya di Masjid UPM dan dikebumikan. Kami amat menghargai segala susah payah mak, mama, baba dan adik-beradik yang bersama-sama menjaga Nur Fatimah, mengalunkan bacaan Al-Quran untuknya, berulang dari Johor dan Pulau Pinang yang bukannya dekat untuk memberi sokongan, menjaga dan mendoakan Nur Fatimah, juga sanak saudara yang tidak putus-putus berziarah, membawa makanan kepada kami, membantu urusan jenazah dan sentiasa memberikan sokongan yang tidak mampu kami balasnya melainkan Allah sebaik2 Pemberi Balasan..

Kami juga sangat terharu dan berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan, datang berziarah, menelefon, SMS, memberi sokongan material dan emosi sehinggalah ke hari ini. Sukar untuk kami menyebutkan satu persatu nama sahabat kerana bimbang ada yang tertinggal, cukuplah nama sahabat2 semua berada dalam hati kami dan Allah akan membalasnya.

Begitu juga ucapan terima kasih buat pengurusan Hospital Putrajaya, Doktor-Doktor Pakar di Hospital Putrajaya, Hospital Kuala Lumpur, PPUM dan nurse yang sentiasa sabar dan berdedikasi dalam kerjaya dan membantu sepanjang merawat anak kami.


HARI-HARI YANG MENDEBARKAN

Sukar untuk saya mengingat kembali detik-detik penuh cemas dan mendebarkan, kerana pasti saya akan terbayang-bayangkannya. Setiap kali sahabat dan sanak saudara bertanya tentang punca dan kejadian semasa berlaku dan pertanyaan-pertanyaan mengapa, apa dan bagaimana, saya berusaha untuk menjawabnya sebaik mungkin walaupun di hati ini berasa tidak senang dan letih untuk menjawabnya lantaran berulangkali dan menyebabkan teringat perkara-perkara yang menyedihkan. Namun saya faham keprihatinan family dan sahabat-sahabat semua kepada kami.

Bermula dengan menghantar Nur Fatimah ke Nursery dengan gelak tawa yang cukup menghiburkan, mendapat panggilan dari pengasuh bahawa setelah lama menangis, tiba-tiba Nur Fatimah lemah, saya terus ke Nursery dengan linangan air mata dan melihat Nur Fatimah berda dalam dakapan owner Nursery yang sampai dahulu dari saya. Menyangka Nur Fatimah inginkan ibunya, saya terus mendakap dan ingin menyusukannya, namun takut di hati apabila Nur Fatimah tidak membuka matanya dan kejang seperti sawan dan terus menghantarnya ke Hospital An-Nur tempat kelahirannya dan dipindahkan ke wad kanak-kanak di Hospital Putrajaya lebih kurang pukul 3 petang Khamis 9 Oktober 2009. Sepanjang perjalanan ke Hospital An-Nur, saya tidak putus-putus membacakan Fatihah, Ayat Kursi dan ‘Bismillahillazi La Yadurru...’ kepadanya. Beberapa kali Nur Fatimah kekejangan di kereta dan juga di wad kanak-kanak walaupun telah dimasukkan ubat anti sawan. Setelah otak discan dan diambil air tulang belakangnya di wad kanak-kanak, dalam pukul 1pagi Jumaat, saya melihat wajah Nur Fatimah dan ketika itu tiba-tiba matanya terbuka dan kemudian tertutup, seolah-olah malaikat telah menjemputnya pergi, kemudian alat pengukur kandungan oksigen menunjukkan penurunan mendadak oksigen dalam badan namun kemudiannya normal. Setelah nurse pergi, saya melihat kembali wajah Nur Fatimah, namun terkejut melihat tiada tanda-tanda pernafasan di badannya dan melihat mulutnya seperti menyedut udara. Saya panggil doktor dan doktor sudah ‘standby’ dengan ‘alat renjat’, namun tidak digunakan kerana setelah mengepam bantuan pernafasan, jantung Nur Fatimah kembali berdenyut. Setelah dimasukkan ke ICU, di luar ICU, suami mengangkat tangan berdoa dan saya mengaminkan dengan sedu sedan menangis.. “ Ya Allah, berikanlah yang terbaik untuk Nur Fatimah dunia dan akhiratnya, sekiranya hidup itu lebih baik baginya, Engkau sembuhkanlah Ya Allah, sekiranya kematian itu lebih baik baginya, maka Engkau bantulah kami untuk sabar dan redha” antara doa yang diingati.

“ Kita doa yang terbaik untuknya ya,” dengan mata merah, abang mengingatkan saya.. Benar, kekuatan abang menyebabkan saya berusaha untuk tabah dan redha..

14 HARI DI ICU

Sepanjang tempoh ini, perkara paling menakutkan kami adalah apabila berjumpa dengan doktor. Sejak dari mula lagi doktor telah mengingatkan dan memberikan segala sebab musabbab realiti agar kami bersedia.

” Nur Fatimah mengalami kecederaan otak yang sangat teruk. Dari scan kedua, memang nampak lebih teruk lagi. Mengikut pengalaman kami, dari dua kes terdahulu, memang berakhir dengan kematian. Saya minta maaf sangat, tetapi kami berusaha yang terbaik, memang kita perlu berusaha dan bersangka baik, dengan izin Allah ada miracle, tetapi kita perlu tahu juga realitinya mengikut ilmu perubatan.”

Bertanya kepada Doktor Arini, pakar kanak-kanak Hospital Putrajaya, pelbagai perkara, simptom, punca dan sebagainya, namun hakikatnya, benar semuanya adalah musabbab yang Allah berikan. ” Biasanya terjadi di nursery, mak ayah jangan salahkan diri, saya faham mak ayah risau, lagipun anak pertama, baby nangis banyak takkan terjadi kecederaan sebegini, biasanya terjadi dengan sebab goncangan yang kuat biasanya dengan sebab kemarahan, atau hayunan buaian kuat menyebabkan gegaran di kepala.” Air mata tidak boleh ditahan-tahan lagi untuk keluar kerana memikirkan takut-takut kesalahan saya menyebabkan Nur Fatimah begitu. Berulangkali Doktor menjelaskan kepada kami kerana berulangkali juga kami bertanya sama ada boleh tak terjadi sekiranya kerana berjalan jauh semasa raya, takut nur fatimah penat atau kerana banyak sangat nangis sehingga kata-kata orang menyebabkan kurang oksigen sampai ke kepala.

14 hari di ICU juga tidak putus-putus kami membaca Fatihah, Ayat Kursi dan Yasiin kepada Nur Fatimah dengan niat supaya menjadi penawar, syifa’ kepadanya, sehingga suami sempat bergurau, ”nanti kalau Nur Fatimah sihat, mesti dia dah hafal surah Yasin.” 14 hari di ICU juga, pelbagai masjid menunaikan solat hajat, sanak saudara dan sahabat pula tidak putus-putus berkunjung, terima kasih diucapkan. Setiap kali bertemu Nur Fatimah, hati rasa bersemangat kembali walaupun masih tidur. Ucapan kami tidak putus-putus pada telinga Nur Fatimah, ” Mama Baba sayang sangat pada Nur Fatimah, Mama Baba minta maaf segala salah silap mama baba pada Nur Fatimah ye, Mama Baba doakan yang terbaik untuk Nur Fatimah, Nur Fatimah bukalah mata, baliklah dengan mama baba kat rumah”Juga berusaha pelbagai perkara, selain ubat doktor, ubat-ubat lain yang dibenarkan juga beserta air zam-zam serta air penawar juga diberikan, berusaha sedaya mungkin kerana kita tidak tahu taqdir yang Allah tentukan padanya, harapan kami tentulah puteri Nur Fatimah sihat dan sembuh...

12 Oktober 2009 merupakan genap setahun pernikahan kami, namun Allah menguji kami dengan ujian berat ini, Nur Fatimah masih ’tidur’ di ICU. SMS baba pada kami : ”Abg dan Djah! Setahun berlalu abg dan Djah bergelar suami isteri. Sudah 3bulan menjadi ayah dan ibu kepada puteri Nur Fatimah. Ulangtahun abang dan Djah dikalong ujian dari Allah, putri cucu ba dan ma , ’tidur’ tenang. Luruh segala kudrat, kering air mata, sebak melanda jiwa, cucu ba dalam ujian Ilahi. Yang terdaya cumalah munajat yang sarat dengan hajat, agar Nur segera sihat. Abg n Djah, la tahzan! Ba, Ma dan adik-adik ucapkan ’tahniah’ sempena setahun berijab qabul. Kami terlalu sayang pada abang n kak Khadijah, dan sekuntum melur cantik, Nur Fatimah! Ba sebak dalam tangisan!”


3 Zulkaedah 1430H, 22 Oktober 2009, ALLAH LEBIH SAYANGKAN NUR FATIMAH

Pukul 4.30pagi Khamis, nurse di ICU call minta datang ke ICU, heartbit semakin menurun. Bergegas ke ICU, pukul 4.55 pagi, kami sampai dengan emak yang tidur bersama di rumah. Sesampainya di sana, heartbit dan tekanan darah semakin lemah. Kami berulang kali membaca Yasiin, Surah Al-Ikhlas, Surah Fatihah dan ayat Kursi serta membisikkan syahadah kepada Nur Fatimah. Benar, janji Allah pasti berlaku. Sesudah kami menunaikan solat Subuh, saya mohon pada Doktor untuk memangku dan memeluk Nur Fatimah, doktor izinkan. Dengan masih bantuan pernafasan di mulut, Nur Fatimah berhenti bernafas di pangkuan, sebagaimana kata doktor, lama-lama jantung tidak akan larat juga untuk mengepam walaupun ada bantuan pernafasan. Nur Fatimah ’tidur selama-lamanya’ di pangkuan mama bersama baba dan nenek. Air mata masih lagi laju seperti tidak mahu berhenti, namun mulut masih lagi membisikkan laa Ilahaillallah, Muhammadur Rasulullah kepada Nur Fatimah. ” Tenanglah sayang, Allah lebih sayang pada Nur Fatimah.

” Itu yang terbaik pada Nur Fatimah, abang masih lagi ada Khadijah” kata-kata abang bagai menyimbah air di hati. Benar, apa yang berlaku, itulah yang terbaik untuk Nur Fatimah, dunia dan akhiratnya. Syukur pada Allah yang mencampakkan rasa ketenangan dan redha dalam hati sepanjang hari itu. Hati rasa puas dapat menjaga Nur Fatimah, dapat membaca Al-Quran bersamanya dan dapat mengalirkan susu di dalam badannya walaupun melalui tiub. Ketika mengambilkan wudhu’ ke badan Nur Fatimah selepas memandikannya, membasuh tangan Nur Fatimah sambil berkata dalam hati,” Nur Fatimah, nanti pegang tangan mama baba kuat-kuat ye sayang dalam syurga, tolong mama baba dapat sama-sama di syurga.” Ketika membasuhkan kakinya, ” Nur Fatimah, tunggulah mama baba sama-sama di syurga ya!”

Talkin yang baba baca di perkuburan menyebabkan air mata tumpah lagi, ”pasti cucu baba sedang bermain-main di syurga, jumpa tok ismail, tok piah.” begitulah yang selalu tok wan baba cakap. ”Title datuk dah ditarik balik nampaknya!”wan baba kata pada kawannya. ”Mak, cucu mak dah tinggal 8orang balik, ain je cucu perempuan mak” abang kata pada mak.

JAULAH PUTRAJAYA

Hari sabtu, 2 hari kemudian, kepala semakin lapang dapat berjalan-jalan sambil bergambar di putrajaya bersama baba,mama dan adik-adik. ” Kalau Nur Fatimah ada mesti dia yang jadi subject kita ambil gambar.”

Banyak benar pengajaran dan ingatan Allah kepada hamba-Nya yang sememangnya lemah ini, yang kadangkala melupaiNya. Nyawa kita berada dalam genggaman-Nya. Perlu sentiasa bertaubat lantaran kadang-kadang hati kita mungkin terlupa dengan kekuasaanNya, bangga diri atau takbur dengan pemberianNya, melupai bahawa Allahlah penjaga makhlukNya. Ujian Allah sebenarnya menjinakkan kembali hati dan menguatkan kembali rohani, moga-moga Allah mengampunkan segala dosa-dosa dan memberikan yang lebih baik lagi di kemudian hari..

”Nur Fatimah, mama baba sayang sangat pada Nur Fatimah, tapi Allah lebih sayangkan Nur Fatimah! Nur Fatimah tetap permata hati mama baba, anak sulong mama baba! Doakan mama baba dapat bersama-sama Nur Fatimah di syurga, jangan lupakan mama baba...”

Ya Allah, kami mohon yang lebih baik dari-Mu, Engkau yang Maha Mengetahui yang lebih baik dan terbaik, bantulah kami sentiasa mengingatiMU, mensyukuri nikmatMu dan memperbaiki amalan kami semata-mata keranaMU... Syukur padaMu Ya Allah kerana memberikan kami zuriat selama 108hari, menatap wajahnya, menyusukannya dan menjaganya, Maha Suci Engkau dan Maha Penyayangnya Engkau kepada hamba-hambaMu, pandanglah kami dan janganlah Engkau tinggalkan kami, bantulah kami dalam segala urusan kami, wahai Allah, Tuhan yang Maha Memberi..
Alhamdulillah....

42 comments:

  1. Salam.

    ♥ Terima kasih atas coretan ini. Byk teladan, iktibar, kesabaran & contoh yg boleh dicontohi. menitis air mata bila membaca coretan ini & perjalanan saat2 terakhir Nur Fatimah.

    ♥ AL-FATIHAH buat nur fatimah. MommaMia doakan semoga roh nur fatimah dalam kalangan penghuni2 SYURGA...

    ♥ buat khadijah dan suami, takziah kami ucapkan. banyak2kan bersabar kerana nur fatimah akan sentiasa menanti kehadiran ibu dan baba di syurga...

    ReplyDelete
  2. tabahnya Dijah..semoga saya juga akan tabah menghadapi hari mendatang...Salam Sahabat.

    ReplyDelete
  3. Salam, sesungguhnya Allah sedang menguji kita dalam pelbagai cara. moga ketabahan dan kesabaran akak dan us. diberikan ganjaran yang lebih baik dari Allah. Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali.

    Salam takziah. AIN

    ReplyDelete
  4. Allah tidak menurunkan dugaan yang mana hambaNya tidak mampu menanggungnya. Itula juga yang selalu saya pegang ketika saya alami 3 kali keguguran. Saya menjadi makin tabah, saya kagum dan humble kerana Allah menjadikan saya contoh hambaNya yang ditimpa dugaan. Saya berharap aka sekeluarga juga tabah dan berusaha lagi utk mendapat zuriat. Insya'allah rezeki di tangan Allah.

    ReplyDelete
  5. sabarlah dan solatlah... kalian merasainya.. berat mata meihat berat lagi bahu yang memikul... Nikmat yang ada disyukuri...takziah daripada kami.. abushifa..

    ReplyDelete
  6. salam takziah dari nadiah dan azam darusa..
    tabahkan hati...
    kuatkan dirimu...
    insyaallah...ganjaran besar menanti kalian

    ReplyDelete
  7. assalamualaikum sahabatku dijah.

    Moga enti sabar dengan ujianNya. Ana tak kahwin lagi. tak tau bagaimana ujian yang akan mendatang. Doakan ana yer.

    ReplyDelete
  8. tragedi yang menimpa Hannan Aqilah pun cukup untuk mendebarkan diri ana, tak tertahan air mata ana membaca coretan ini. Ana doakan Khadijah dan Ramadhan tabah menghadapi ujian ini...

    ReplyDelete
  9. sebak membaca..mengalir air mata...dugaan yg cukup hebat sahabat...kerana allah tahu kau mampu menghadapi nya dengan tenang...segala yg berlaku pasti ada hikmah...

    ilyana rohaizad

    ReplyDelete
  10. salamun alaik..
    hrpn dan doa dititipkn..
    agar ukhtie wa ust disulamkan dgn baju sabar.. jubah tabah dan taman hati yg senantiasa cekal... ameenn..

    salam kasih sayang.. salam perjuangn min NISA' Serdang.. al mukhlisoh min ss.

    ReplyDelete
  11. Hakikat seorang hamba, redha & bersangka baik atas ujian Tuhannya. Ibrah bermakna buat kami semua...

    Salam takziah dr akak buat Dijah & Ust Ramadhan.

    ReplyDelete
  12. Salam takziah.. semoga acik dijah terus tabah.. Kita ummat Islam mestikan tunjukkan kekuatan kita... Setiap kejadian Allah terkandung 1001 rahmah.

    dari: Anak kepada kawan Pak Cik Zaiskandar.

    ReplyDelete
  13. Salam,

    Kak Djah and us Ramadhan. Semoga terus tabah dalam menghadapi ujian ini. Sesungguhnya Allah menguji seseorang itu berdasarkan kemampuannya. Tahniah di atas ulang tahun perkahwinan. Semoga di kurniakan Allah dengan zuriat yang soleh dan solehah kelak.

    Amin..

    Ninie dan suami

    ReplyDelete
  14. Akum dijah...kite rase sebak sgt bace entry awak..kite harap awak tabah walaupun kite tatau ape yg ditanggug dlm hati awak...mmg betul kata awak...hanya mereka yg bergelar ibu pasti terasa sgt dgn kejadian ini...

    kite doakan awak akan dapt byk lagi zuriat yg soleh dan solehah lepas ni...dijah sabar yer,...

    from yati ali & family with love , "you are my bestfren forever " :) take care dijah ..

    ReplyDelete
  15. akak, sabar ye.. ,moga nur fatimah aman & bahagia di sana.. amin...-shuhada jaafar

    ReplyDelete
  16. salam buat dijah dan ust ramadhan..
    dijah.. kalau la saya berada di depan awk skrg, nak saja saya memeluk awak seeratnya.. mengambil semangat 'Khadijah' dalam diri awk..
    Nur Fatimah 'pergi' awal utk 'booking' tempat utk mama dan babanya di syurga nnti. berbahagialah kalian krn ada insan menunggu di sana.. akan digantikanNya zuriat baru nanti (i.allah)utk 'membantu' kalian sementara hidup dikandung badan.. mendoakan kalian.. zaza juga baru 'kehilangan' kandungan bulan Ramadhan lalu.. sbb tu coretan awak banyak menyentuh hati saya dan saya tak kering idea utk publish cerita Nur Fatimah di blog saya. Itulah yang TERBAIK utk mereka, kan dijah? smg anak2 kita main sama2 di'sana'.. sudi2lah singgah blog saya.. thanx dijah.. peribadi awak menjadi teladan utk saya.. smg ukhuwah kekal ke akhir hayat..

    -zaza, penang (ex-Nisa m'sia)

    ReplyDelete
  17. La Tahzan'..sesungguhnya kita milik Allah.semoga khadijah & ustz ramdhan terus tabah dan sabar.Doakan segala yang terbaik buat ukhti.

    ReplyDelete
  18. moga nur fatimah jemput mama n baba nye ke taman syurga Allah . salam takziah buat kalian. pasti ada gantian yang lebih baik dari Allah ..

    basidh n afifah

    ReplyDelete
  19. Takziah buat Dijah dan Ramadhan,
    Sesungguhnya permata itu Nur Fatimah Allah pinjamkan agar kalian menikmati kasih sayangNya, jua Allah lebih dahulu mengambilnya, untuk agar kalian dan kita semua merasai LEBIH LAGI manisnya kasih sayangNya juga...

    Nur Fatimah selalu akan berbahagia bersama Tuhannya, dan pastinya dia akan sentiasa menunggu dan berusaha agar mama dan babanya akan berada di sisinya di Syurga nan abadi.

    Kak Yuzi & Safwan Makki

    ReplyDelete
  20. :'(

    Dijah,
    "Menjadi peneroka perlu tabah"
    Awak memang seorang peneroka!

    ReplyDelete
  21. Assalamualaikum ukhtie Khadijah. Sabar dan redha. Sesungguhnya anak, suami dan famili hanyalah pinjaman Allah. sampai waktu, kita wajib merelakan pemergian mereka. Menemui kembali Pencipta mereka. Sama juga seperti kita, sampai masa kita kan ke sana juga. Doakan yang terbaik supaya Nur Fatimah menjadi anak solehah di sana. InsyaAllah, dia akan pegang erat tangan mama & baba nya untuk menuju ke jannah yang dijanjikan. Dia akan setia menanti di hadapan pintu syurga.

    Ujian Allah itu adalah tarbiyyah untuk kita.

    Salam sayang... umi_sofea

    ReplyDelete
  22. Salam..takziah Dijah & ust.
    kami yg membacanya pun terasa bukan senang untuk menghadapi ujian sebegini..
    chayok dijah..i-Allah ada rezeki lg lepas ni.. tambah ramai2 yer..
    love u.. k.zawati (x nisa' selangor)

    ReplyDelete
  23. Salam buat Dijah & Ramadhan sahabat dunia akhirat, insyaallah..

    Masih teringat mengigil tangan saya ketika mengusap ubun-ubun dan pipi comel Nurfatimah ketika menziarahi permata hati kalian di ICU Putrajaya beberapa hari sebelum Nurfatimah dijemput Allah.

    Masih saya ingat ciuman terakhir sy pd penghuni syurga Nurfatimah yang terbaring kaku 2 jam setelah nadinya berhenti berdenyut...

    Masih saya ingat tenangnya wajah Dijah & Ramadhan di saat menghadapi realiti ketentuan Allah ini..

    Kami menumpang tarbiyyah Allah kepada kalian.. Kalian contoh terbaik utk dicontohi oleh sahabat-sahabat.

    Beruntung lah Mama & Baba Nurfatimah krn permata hati kalian telah menunggu di pintu syurga..

    salam takziah & salam persahabatan yang berpanjangan..Moga-moga kalian dikurniakan pengganti zuriat yang soleh & solehah buat pengubat rindu kepada Nurfatimah, insyaallah..

    Masih teringat

    ReplyDelete
  24. Semoga kalian tabah menghadapi ujian ini.

    Zaujah ana selalu ikuti perkembangan sahabat-sahabat melalui blog I-Match. Dia kata, walaupun tak pernah kenal Khadijah, tapi dia rasa dekat sebab sama-sama berstatus ibu.

    ReplyDelete
  25. Salam Ukhuwah

    Menitis airmata ini membaca kisah penulis, setiap yg berlaku telah tertulis rahsia dibalik kejadian....hanya Allah yang tahu.

    Al-Fatihah buat adik Fatimah, semoga damai kau di'sana'...aminnnn

    ReplyDelete
  26. Salam K.Djah,
    Salam takziah dari azimah sekeluarga..walaupun imah jauh, namun imah xlupe untuk bertanya kabar melalui mas.. Minta maaf sgt2 sbb xsmpt nak ziarah..
    Walaupun imah nak zahirkan rase sedih bila membaca blog K.djah, tp imah tahu,perasaan tu hanya K.Djah sekeluarga saja yg tahu..kehilangan permata indah yg kita kendong 9bulan,tiba2 bagun tidur tiada..xmampu untuk ditulis,sayu rase hati..
    K.Djah, Allah maha mengetahui dan segala yg tersurat dan tersirat,diambil dan dipinjam akan diberikan 'permata' yg lebih indah lagi..Hanya Allah Maha Mengetahui sebab musabab di sebalik kejadian ini..Nur Fatimah, seindah namanya,seindah kisah perjalanan hidupnya..walaupun dipinjamkan sebentar,namun kehadirannya memberikan senyuman dan kebahagiaan yang amat2 bermakna buat umi dan babah,atok2nya..Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarham Nur Fatimah..Amin..
    Salam takziah dari saya-azimah sekeluarga-

    ReplyDelete
  27. Salam buat Dijah dan suami,

    Terima kasih atas coretan yg penuh pengajaran dan air mata. Moga ketabahan dijah dan suami menjadi pedoman buat semua. Sebagai insan yg suci bersih Fatimah semestinya sedang bergembira di syurga Allah.. moga kita semua tergolong dalam insan2 yg akan berjumpa Fatimah nanti...

    ReplyDelete
  28. takziah. semoga jiwa tenang dan redha menghadapi dugaan ni.

    al-fatihah untuk arwah fatimah

    ReplyDelete
  29. Meleleh air mata membaca coretan ustazah..

    Takziah Ust Ramadhan dan Ustzh Khadijah..
    Semoga Allah melihat segala ketabahan dan kesabaran kalian...

    Mohd Rokhaimi Zakaria
    Langkawi.

    ReplyDelete
  30. salam
    takziah dari saya.
    semoga kalian berdua di berkati Allah dengan ujian ini.
    Semoga anak ini akan menarik kalian berdua ke surga nanti,,,amin

    muhammad ridwanto

    ReplyDelete
  31. Sewaktu saya membaca luahan hati ini, airmata saya menitis dgn sendirinya. Teringat anugerah Allah yg diberikan kepada saya sendiri (anak2).. kadang2 terlupa bila anak anak nakal dan kita marahi mereka, kita terlupa betapa berharganya anugerah dan tanggung jawab Allah ini.

    Sesungguhnya, kematian adalah nasihat yang terbaik buat kita semua.

    Yakinlah, setiap perkara itu ada hikmah dan rahsianya. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita semua..

    -Dr Muna aka Ummusaif

    ReplyDelete
  32. Salam,
    Sebak membaca tulisan ustazah mengenai Nur Fatimah dan apabila mengenangkan anak perempuan saya yang masih kecil. tidak tertanggung sekiranya ujian tersebut ditimpa kepada saya dan isteri. semoga Allah memberikan kekuatan dan ketabahan kepada ustazah dan ustaz menghadapinya. pasti ada hikmah tersembunyi di sebalik ujian ini. tabahkan hati, kuatkan semangat. salam takziah dari saya.

    ReplyDelete
  33. Assalam
    takziah dr saya..byk bersabar..
    bukan nk salahkan sesiapa..
    nyak kejadian y sy dgr psl nursery
    sbb tue lah smpi skg(baby dah manjangkau usia 5 bln lbh) sy xmampu lg nak bawa duduk bersama dan hantar ke nursery/pengasuh
    skg baby masih bersama datuk n nenek di kg..
    pe2 pun jdkan ikhtibar
    harapan moga kejadian spt ini tak berlaku lg..
    al fatihah buat arwah adik nur fatimah
    insyaallah anak tersyg akan tgu ibu n bapa di pintu syurga..

    ReplyDelete
  34. air mata menitis membacanya. Semoga tabah menghadapi dugaan besar ini.

    ReplyDelete
  35. Salam kak dijah, ni azni UM (fizik). ingat saya lagi tak? salam takziah buat akak..semoga tabah menghadapinya. insya allah adik Nur Fatimah penghuni syurga...

    ReplyDelete
  36. salam..ucapan takziah kepada anta sekeluarga..moga tabah menghadapi ujian Allah...sedih baca blog anta..
    Ada hikmah semua ini...

    Nur Fatimah penghuni syurga Selamanya...

    ReplyDelete
  37. Salam.
    Ada sinar menanti di hadapan dengan
    kesabaran yang kalian aplikasikan
    atas ujian Allah ini..

    ReplyDelete
  38. Rohanah bt Sulaiman (kawan mama dan baba dijah UKM 1977-1981
    Sedih baca cerita dijah. makcik ucapakan takziah utk dijah. Tabahkan hati menghadapi ujian dari Allah. Semuga dimurahkan rezeki.. Salam buat mama dan baba dijah. Rohanah SMKC. Changlun

    ReplyDelete
  39. Ya Allah! menitis air mata saya baca coretan ni..berat mata memandang, brat lg bahu memikul..Nir Fatimah sudah berada di syurga, menunggu mama dan baba dia..

    ReplyDelete
  40. salam, kak dijah..
    sungguh2 saya baru dpt tau..
    sebulan tak balik rumah..
    kali terakhir 18 oktober..
    moga kak dijah terus tabah..
    al-fatihah buat arwah..

    -Izzati (adik kak ummu yg manis..pernah sekali dua ke AZ..harap2 kak dijah ingat..)

    ReplyDelete
  41. salam takziah dari saya.Zaiskandar yang beri link ni..betullah..saemua milik Allah .kita meminjam sahaja

    ReplyDelete