Sunday, January 23, 2011

Pluto Bukan Lagi Planet?






"Ada berapa planet dalam sistem suria kita?" Tanya saya kepada pelajar-pelajar Falak Tahun 2 semester ini dalam Kursus Sistem Matahari, Bulan dan Bumi, Program Syariah dan Astronomi Islam.
" 9, 11, 8" Kedengaran suara-suara yang menyahut. Saya jadi geli hati bercampur pelik.
" Kamu ni, pelajar Falak pun masih lagi tak tahu planet ada berapa dalam sistem suria kita!" suara saya seakan ingin memarahi mereka namun suara gelak tawa mereka membuatkan saya faham, bak kata sahabat-sahabat saya ' awak ni tak reti marah orang ke dijah?'

Walaupun dalam Surah Yusof, kawakib yang ditafsirkan sebahagian ahli tafsir sebagai planet ada sebelas, namun, golongan cerdik pandai dalam astronomi dengan teknologi yang canggih telah membuat keputusan bahawa Pluto yang satu masa dahulu adalah planet bukan lagi planet.

Berikut adalah artikel yang saya 'pos'kan ke majalah Muslimah pada keluaran akan datang. Silalah beli Majalah Muslimah untuk mendapatkan artikel-artikel saya berkaitan Falak pada setiap bulan.

Pluto Bukan Lagi Planet?

Tentu kita semua telah belajar di sekolah dalam mata pelajaran Sains tentang planet Pluto dalam sistem suria kita. Planet adalah objek yang mengorbit matahari dan planet yang pernah kita pelajari satu masa dahulu ada 9 semuanya termasuk Pluto. Namun begitu, pada tahun 2006, International Astronomical Union (IAU) atau Kesatuan Astronomi Antarabangsa yang dianggotai oleh ahli dan pakar dalam astronomi telah mengundi untuk mengeluarkan Pluto daripada senarai planet menjadikan planet hanya tinggal 8 iaitu Utarid (Mercury), Zuhrah (Venus), Bumi (Earth), Marikh (Mars), Musytari (Jupiter), Zuhal (Saturn), Uranus dan Neptun.

Sejak dijumpai pada tahun 1930 oleh Clyde W. Tombaugh sehingga tahun 2006, Pluto dianggap sebagai planet ke sembilan dalam Sistem Suria. Pluto mempunyai 3 satelit atau bulan iaitu Charon, Nix dan Hydra. Pada akhir tahun 1970-an, selepas planet kecil 2060 Chiron dijumpai di luar Sistem Suria dan pengakuan jisim rendah Pluto, statusnya sebagai planet utama telah dipersoalkan. Pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21, banyak objek serupa dengan Pluto telah dijumpai di luar Sistem Suria, terutamanya objek cakera bertabur seperti planet kerdil Eris pada tahun 2005, yang 27% lebih besar berbanding Pluto. Pada 24 Ogos 2006, International Astronomical Union (IAU) mentakrifkan apa yang dianggap planet dalam Sistem Suria. Takrifan ini menyingkirkan Pluto sebagai sebuah planet dan memasukkannya sebagai ahli kategori baru "planet kerdil" (dwarf planet) bersama Eris dan Ceres. Selepas pengkelasan tersebut, Pluto ditambah kepada daftar planet kecil dan diberikan nama rasmi 134340. Namun begitu, sejumlah pakar sains kekal menegaskan bahawa Pluto patut dikelaskan sebagai sebuah planet.

Mengapa Pluto tidak lagi dianggap sebagai planet? Ini kerana, planet telah ditakrifkan semula oleh IAU sebagai :
• mempunyai orbit yang mengelilingi Matahari
• mempunyai jisim yang cukup untuk mencapai bentuk keseimbangan hidrostatik (hampir bulat)
• melepasi (tidak bersilang) orbit planet jiran.
Badan bukan satelit yang memenuhi dua syarat pertama digelar "planet kerdil", manakala badan bukan satelit lain (cuma memenuhi syarat pertama) dipanggil "badan sistem suria kecil" (dulu planet minor). Pentakrifan semula ini amat kontroversi dan banyak dikritik. Menurut takrifan ini, kini terdapat lapan planet dan lima planet kerdil dalam sistem suria. Pentakrifan ini khusus untuk Sistem Suria sahaja, oleh itu, ia tidak boleh digunakan dalam kes planet luar sistem suria.

Oleh sebab orbit Pluto telah memotong orbit Neptun sehingga kadangkala Pluto berada lebih dekat dengan matahari berbanding planet Neptun, maka Pluto telah digugurkan kelayakannya untuk memegang status sebagai sebuah planet. Pluto, digelar secara rasmi sebagai 134340 Pluto, merupakan planet kerdil kedua terbesar yang diketahui dalam Sistem Suria (selepas planet kerdil Eris) dan badan kesepuluh terbesar yang dilihat dengan mata kasar mengelilingi matahari.

Rujukan : wikipedia, Buku-Buku Astronomi

No comments:

Post a Comment